top of page
nabalunews

Atlet negara hargai pemberian ganjaran RM10,000 dari MILO

6 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: 56 atlet yang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada MILO atas pemberian imbuhan sebanyak RM10,000 setiap seorang.


Bagi mereka, insentif ini adalah satu bentuk pengiktirafan atas usaha gigih mereka membawa nama negara ke pentas dunia.


Atlet terjun negara, Bertrand Rhodict, yang membuat penampilan sulung di temasya sukan terbesar dunia itu, mengakui bahawa dia sangat terharu dengan penghargaan yang diberikan.


Beliau berkata, sokongan sebegini bukan sahaja memberi motivasi kepada para atlet, malah membantu meningkatkan semangat mereka untuk terus berjuang dan mencapai prestasi terbaik.


“Ini adalah tahun pertama saya mewakili Malaysia dalam temasya sukan berprestij seperti Paris 2024.


“Pengiktirafan serta ganjaran diberikan oleh MILO mendorong saya untuk berusaha lebih gigih untuk mengharumkan nama negara dalam Sukan Olimpik akan datang.


“Insentif ini akan membantu saya dari segi kewangan memandangkan saya akan memulakan pengajian di kolej tahun depan,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.


Selain itu, perenang paralimpik, Imaan Aiman ​​Redzuan pula melihat sumbangan itu sebagai satu dorongan untuk semua atlet berusaha lebih gigih.


“Saya amat bersyukur apabila mendengar berita tentang insentif yang diberikan oleh MILO kepada semua atlet.


“Ini satu dorongan besar kepada semua atlet di Malaysia untuk berusaha lebih gigih dan jangan sesekali patah semangat dalam mengejar impian mereka dalam sukan,” katanya.


Nestle MILO sebagai penaja, mengumpulkan mereka dalam satu majlis istimewa penyerahan imbuhan, di sini, semalam.


Jelas ia mendatangkan rasa bangga dan terharu atlet negara selepas berusaha keras membawa nama malaysia ke acara terbesar global itu.


Sumbangan daripada MILO ini juga dilihat sebagai galakan kepada generasi muda yang bercita-cita menjadi atlet negara, dengan menunjukkan bahawa pengorbanan dan usaha keras mereka akan dihargai dan diiktiraf di peringkat nasional.


Inisiatif sebegini pastinya memberi impak positif bukan sahaja kepada atlet yang bertanding di Paris 2024, tetapi juga kepada perkembangan sukan tanah air secara keseluruhannya.


Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia berkata mereka teruja untuk meraikan pencapaian luar biasa 56 atlet Olimpik dan Paralimpik yang telah mewakili Malaysia di Paris.


Tambah Juan, dedikasi atlet negara kepada sukan mencerminkan nilai-nilai yang didukung oleh MILO selama lebih daripada 70 tahun.


“Komitmen MILO terhadap sukan Malaysia melangkaui penajaan. Kami telah bekerjasama dengan lebih daripada 20 persatuan sukan kebangsaan dalam pembangunan akar umbi.


“Setiap tahun kami menyokong lebih daripada 16,000 acara sukan yang memberi inspirasi kepada 7 juta rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan yang aktif dan sihat,” katanya.


Seramai 30 atlet menyertai temasya Sukan Olimpik Paris yang menyaksikan Malaysia pulang dengan 2 pingat gangsa disumbangkan Lee Zii Jia dan Soh Wooi Yik/ Aaron Chia menerusi acara perseorangan dan beregu lelaki.


Dikalangan 26 atlet Paralimpik pula berjaya membawa pulang 2 pingat emas, masing-masing dari Cheah Liek Hou– Badminton, Bonnie Bunyau Gustin– Powerlifting dan pingat perak olahraga Mohd Ziyad Zolkefli dan Datuk Abdul Latif Romly sementara Eddy Bernard menyumbang gangsa.

Comments


bottom of page