Bahaya Aktiviti Kecurangan Elektrik

22 Februari 2025
KOTA KINABALU: Aktiviti kecurangan elektrik bukan saja menyebabkan gangguan infrastruktur elektrik tetapi juga boleh membahayakan keselamatan orang ramai.
Ia berikutan sambungan elektrik secara tidak sah boleh mengakibatkan insiden litar pintas, kebakaran dan juga renjatan.
Sehubungan itu, Sabah Electricity menasihatkan orang ramai untuk membuat permohonan bekalan elektrik melalui saluran yang sah dan menghindari melakukan
pemasangan elektrik secara curang.

Ketua Pegawai Operasi, Ir.Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, pihaknya turut berharap kerjasama erat daripada pihak berkuasa dan jabatan kerajaan berkaitan untuk membanteras aktiviti berkenaan.
Katanya, Sabah Electricity sendiri sudah melaksanakan ratusan operasi membanteras
aktiviti mencuri elektrik atau penyambungan haram untuk mengekang dan mengawal aktiviti tersebut.
“Sabah Electricity sering menyuarakan mengenai bahaya aktiviti berkenaan bukan saja kepada pelaku tetapi juga harta benda dan orang awam menerusi media cetak dan elektronik.
"Penyambungan elektrik secara haram dan tidak selamat oleh penghuni penempatan
setinggan boleh meningkatkan risiko keselamatan seperti kebakaran akibat litar pintas serta terkena renjatan elektrik," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Sehubungan itu, Mohd Yusmanizam berkata, orang ramai khususnya pemimpin masyarakat juga dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat segera sekiranya mengesan aktiviti penyambungan haram di kawasan
masing-masing.
Katanya, sepanjang tahun ini, Sabah Electricity juga akan pergiatkan aktiviti operasi bersepadu di seluruh negeri.
Katanya, ia bagi memastikan mereka yang terlibat dalam aktiviti kecurangan elektrik dapat dihadapkan ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
Dalam pada itu, Mohd Yusmanizam turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat membantu Sabah Electricity membanteras aktiviti kecurangan elektrik.
Comentarios