top of page
Wartawan Nabalu News

Balai Bomba akan diwujudkan di Gunung Kinabalu


26 Januari 2022 Oleh Wartawan Nabalu News RANAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal mewujudkan sebuah balai bomba di Panalaban, Gunung Kinabalu. Timbalan Pengarah JBPM Sabah Farhan Sufyan berkata, balai bomba itu sebagai pusat operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat (Mosar). Katanya, pusat operasi itu akan diwujudkan di bangunan bekas asrama penginapan Gunting Lagadan Hut, yang kini dikosongkan selepas gempa bumi pada 2015. Memetik laporan Harian Metro kelmarin, Farhan berkata balai bomba tersebut akan menjadi satu-satunya balai bomba di kawasan altitud tinggi di Malaysia, apabila balai bomba tersebut beroperasi kelak. "Susulan insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015, tiada bangunan khas yang sesuai dengan keperluan operasi gerak kerja Mosar. “Kami ada melakukan tinjauan ke tempat penginapan Mosar di Panalaban dan ia kurang sesuai dan perlu penambahan baikan. “Oleh itu, berdasarkan perbincangan awal kami bersama Taman-Taman Sabah (TTS) dan mereka (TTS) sudah cadangkan supaya Gunting Lagadan Hut dijadikan lokasi pusat operasi Mosar," katanya. Tambahnya, kini keanggotaan Mosar semakin bertambah seramai 42 anggota bagi keperluan menghadapi kecemasan dan bencana di sepanjang laluan ke puncak Gunung Kinabalu. “Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang kami kena semak dari segi keselamatan dan aset ataupun pergerakan yang mana perbincangan lanjut akan diadakan dengan TTS," katanya.


Comments


bottom of page