top of page

Bangkai Gajah Ditemui Tanpa Kepala

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read


7 April 2025


KOTA KINABALU: Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang membunuh gajah pygmy Borneo yang ditemui tanpa kepala di Kalabakan, minggu lalu.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Christina Liew, berkata Jabatan Hidupan Liar (JHLS) sudah diarah melaksanakan operasi bersama pihak berkuasa lain.


Katanya, ia termasuk membuat sekatan jalan raya di lokasi strategik bagi mengesan pelaku perbuatan jenayah itu.


“Penemuan bangkai gajah tanpa kepala di kawasan hutan Tibow di Jalan Kalabakan - Sapulut itu amat dikesali lebih-lebih lagi ia adalah insiden kedua selepas kejadian sama yang dilaporkan dekat Lembangan Maliau, Januari lalu.


"Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan kejam dan pemburuan haram hidupan liar yang dilindungi di Sabah, termasuk gajah pygmy Borneo yang kini diancam kepupusan.


"Kita sedaya upaya memastikan pelaku jenayah ini dapat dikesan dan dibawa ke muka pengadilan seterusnya didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Christina berkata, ini menunjukkan kemungkinan wujudnya kegiatan pemburuan haram yang semakin berleluasa di negeri ini.


Sementara itu, penemuan bangkai gajah terbabit disahkan Pengarah JHLS, Mohd Soffian Abu Bakar berikutan satu laporan diterima pihaknya pada minggu lalu mengenai bangkai seekor gajah tanpa kepala di kawasan Tibow, Kalabakan.


Berikutan laporan itu, JHLS melancarkan siasatan segera berhubung insiden berkenaan dan meningkatkan tindakan penguatkuasaan termasuk operasi bersama dan sekatan jalan raya dengan agensi keselamatan lain.


Christina berkata, penguatkuasaan tindakan bagi melindungi hidupan liar memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk penguatkuasa dan komuniti setempat.


Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya tampil menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan dalam kes pembunuhan gajah terbabit.


"Gajah pgymy Borneo adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan sebarang kesalahan di bawah enakmen ini boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda dengan jumlah yang besar, selain penjara," katanya.


Beliau berkata, populasi gajah pygmy Borneo di Sabah ketika ini hanya kira-kira 1,500 hingga 2,000 ekor, menjadikannya hidupan liar yang semakin diancam kepupusan di negara ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page