top of page

Banjir: Empat sekeluarga terperangkap dalam kereta

nabalunews

Pasukan bomba menyelamatkan empat mangsa yang terperangkap dalam kenderaan.
Pasukan bomba menyelamatkan empat mangsa yang terperangkap dalam kenderaan.

30 Januari 2025


KINABATANGAN: Empat sekeluarga terpaksa menunggu lebih 2 jam sebelum diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kejadian di Kampung Paris 2, Kota Kinabatangan, di sini, awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, semua mangsa dilaporkan terperangkap selepas kereta dinaiki dihanyutkan arus deras.


Bagaimanapun, pasukan penyelamat hanya dapat tiba di lokasi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai bomba pada jam 2.47 pagi ekoran beberapa jalan turut dilanda banjir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.56 tengah malam.


Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.


“Kereta jenis Toyota Hilux yang dipandu mangsa terperangkap sebelum dihanyutkan arus deras.


“Mangsa membabitkan sepasang suami isteri bersama dua kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Menurutnya, pasukan operasi seterus membantu mengeluarkan semua mangsa dari kenderaan berkenaan.


Katanya, semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang insiden tidak diingini.


“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.15 pagi,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page