Banjir Kilat Keningau, UPKO Tampil Hulur Bantuan
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_60f8bebc9f0a4022861314ec022f7216~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_60f8bebc9f0a4022861314ec022f7216~mv2.jpg)
7 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Hujan lebat berterusan di daerah ini, semalam, mengakibatkan beberapa kawasan terjejas akibat banjir kilat.
Antara kawasan terjejas ialah Kampung Kauran, Kampung Lingkudau, Tamu Ground, Kampung Patikang Ulu, dan Kampung Kauran Greg.
Prihatin dengan situasi yang melanda, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Keningau mengambil inisiatif untuk membantu penduduk yang terkesan.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_c14ee1866e704d648c566660a53ef0ce~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_c14ee1866e704d648c566660a53ef0ce~mv2.jpg)
Pasukan diketuai oleh Ketua Wanita Keningau, Nancy Law, bersama Ketua Pemuda, Jeffson Japrin telah menggerakkan usaha menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Lingkudau.
Turut serta dalam usaha itu Ketua Penerangan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bingkor, Aliudin Majid.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk air mineral bagi memastikan mangsa banjir mendapat bekalan air minum bersih secukupnya.
Jeffson berkata, selain Kampung Lingkudau, UPKO Keningau juga akan menggerakkan pasukan mereka ke kawasan lain yang turut terjejas bagi memastikan semua mangsa mendapat bantuan sewajarnya.
“Kami akan menyalurkan bantuan ke kampung-kampung lain yang turut terjejas bagi memastikan mereka tidak terabai dalam menghadapi musibah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aliudin menyeru semua pihak agar memberi fokus kepada usaha membantu mangsa banjir.
Katanya, semua pihak seharusnya membantu mangsa terjejas dan bukannya menjadikan bencana ini sebagai medan berpolitik atau menyalahkan mana-mana pihak.
“Ini bukan masa untuk berpolitik atau menuding jari. Apa yang lebih penting sekarang adalah memastikan mangsa banjir mendapat bantuan yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam laporan cuaca pagi semalam memaklumkan hujan lebat serta ribut petir dijangka terus berlaku, terutama di kawasan pedalaman dan pantai barat Sabah.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kemungkinan banjir kilat akan berulang sekiranya hujan berterusan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan cuaca, dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Kerjasama antara masyarakat, NGO, dan pihak berkuasa amat penting dalam memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir terus terjaga.
Comments