Banjir Sabah: Hanya Beaufort Masih Belum Pulih
nabalunews

14 Mac 2025
KOTA KINABALU: Hanya daerah Beaufort masih terjejas akibat banjir dengan 407 mangsa daripada 129 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam enam pagi tadi.
Jumlah mangsa banjir menurun, berbanding 449 orang mangsa melibatkan 114 keluarga berdasarkan rekod PPS malam tadi.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan infografik menyatakan, dua PPS ditutup di Beaufort malam tadi, dengan empat PPS masih beroperasi di daerah berkenaan.

Manakala daerah Tenom dan Membakut telah pulih daripada banjir dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing malam tadi.
Mengikut rekod, seramai 466 mangsa daripada 200 keluarga yang ditempatkan di enam PPS di Tenom telah dibenarkan pulang.

Sementara itu, bagi Membakut, 21 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di satu PPS turut dibenarkan pulang.
Comments