top of page

Banjir Sarawak: Empat mangsa hanyut berjaya diselamatkan.

nabalunews


30 Januari 2025


BINTULU: Empat mangsa banjir nyaris lemas selepas bot dinaiki terbalik sebelum hanyut dibawa arus deras dalam kejadian di Taman Bukit Orang, di sini, pada Rabu.


Rakaman kejadian itu tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi terhadap detik genting mangsa saling berpaut untuk menyelamatkan diri menentang arus deras.


Bagaimanapun, difahamkan semua mangsa berusia 40-an itu berjaya diselamatkan pasukan bomba yang berada di lokasi kejadian.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju, Irwin Abidin berkata, operasi dijalankan berdasarkan insiden menerusi satu video tular memaparkan bot karam di Taman Bukit Orang.


"Pasukan kita menerima panggilan pada jam 1.58 petang melibatkan empat mangsa iaitu pekerja asing yang bekerja di Bintulu.


"Dalam kejadian itu, semua mangsa hanyut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat arus yang deras ketika banjir," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Irwin berkata, susulan laporan kejadian itu, sepasukan anggotanya dikejar ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.


"Pasukan saya ketika itu sedang bertugas SAR mangsa banjir di kawasan berhampiran dan saya hubungi mereka untuk segera bertindak ke lokasi tersebut.


"Seramai empat anggota bertindak pantas menyelamatkan mangsa yang hanyut di lokasi tersebut sebelum keadaan bertambah buruk," katanya.


Irwin berkata, kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan telah dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk rawatan dan bantuan lanjut.


Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak memaklumkan jumlah mangsa banjir di Sarawak ketika ini meningkat kepada 5,561 orang dan sebanyak 47 PPS telah dibuka di seluruh negeri tersebut.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page