top of page

Bank Rakyat sumbang RM144,000 kepada 72 sekolah, 460 komputer kepada 55 sekolah di Kadamaian dan Penampang

nabalunews

Ewon (tiga dari kiri) menyampaikan secara simbolik sumbangan Bank Rakyat kepada wakil sebuah sekolah di kawasan Kadamaian, turut kelihatan Khairul (dua dari kanan), Mohd Irwan (dua dari kiri) dan Ahmad Shahril (kanan).
Ewon (tiga dari kiri) menyampaikan secara simbolik sumbangan Bank Rakyat kepada wakil sebuah sekolah di kawasan Kadamaian, turut kelihatan Khairul (dua dari kanan), Mohd Irwan (dua dari kiri) dan Ahmad Shahril (kanan).

1 Februari 2025


PENAMPANG: Bank Rakyat agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyampaikan sumbangan berjumlah RM144,000 kepada 72 sekolah di kawasan Penampang dan Kadamaian melibatkan 1,440 pelajar daripada keluarga B40.


Selain bantuan persekolahan, Bank Rakyat turut menyumbangkan 460 set komputer kepada 55 buah sekolah di kedua-dua kawasan itu.


Sumbangan itu disampaikan melalui Program Jangkauan Komuniti MADANI Bank Rakyat: Kembali Ke Sekolah di SK Piasau Kota Belud dan SMK Limbanak, Penampang, hari ini, yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Ketika berucap Ewon berkata, ini menunjukkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam memperkasakan pendidikan dan membantu pelajar yang memerlukan.


“Bagi pihak pelajar dan sekolah yang menerima sumbangan-sumbangan ini, saya ucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana terus menjadi sebahagian daripada penyelesaian keperluan dalam gerakan pendidikan bagi melengkapkan usaha sedia ada khususnya yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.


Katanya lagi, selepas memulakan tanggungjawab besar dalam kementerian ini dua tahun lepas, beliau mengatakan tanpa mengurangkan fokus sedia ada dalam kementerian itu, beliau mahu kementerian ini memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.


“Sebab itu saya telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara berkaitan pembangunan keusahawanan, koperasi dan pendidikan,” katanya.


Ewon berkata, dalam bidang pendidikan Bank Rakyat, Yayasan Bank Rakyat bersama agensi-agensi lain di bawah kementeriannya telah melaksanakan pelbagai inisiatif di Sabah dan Sarawak.


“Antaranya Program Ehsan@KUSKOP di mana Yayasan Bank Rakyat telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM3 juta untuk melaksanakan inisiatif ini yang akan dilaksanakan di tiga daerah yang mempunyai daftar e-Kasih yang tinggi, iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud.


“Inisiatif ini adalah program memperkasa pendidikan kepada anak-anak keluarga yang berdaftar dalam e-Kasih melalui sumbangan sosial korporat Bank Rakyat yang diuruskan oleh Yayasan Bank Rakyat,” katanya.


Ewon berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen dan keprihatinan kerajaan sebagai sebuah keluarga MADANI untuk mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran anak-anak di kawasan luar bandar, sekali gus menyemai budaya celik digital.


“Inisiatif ini juga jelas membuktikan bahawa kita semua, termasuk kerajaan, sektor awam serta swasta berkongsi matlamat dan tanggungjawab yang sama dalam memastikan tiada seorang pun golongan yang ketinggalan daripada menerima pendidikan dan kemudahan terbaik,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, menyedari pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah, Bank Rakyat percaya setiap pelajar berhak mendapat peluang yang sama untuk menimba ilmu tanpa kekangan kewangan.


“Sumbangan Kembali Ke Sekolah ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa serta memberi semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam akademik mereka.


“Kita sedia maklum bahawa teknologi memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan masa kini. Oleh itu, sumbangan komputer ini bertujuan memastikan pelajar mendapat akses kepada peralatan pembelajaran digital yang lebih baik, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mereka meneroka ilmu secara interaktif dan

inovatif,” katanya.


Katanya lagi, inisiatif ini juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan pendidikan digital di Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.


“Bank Rakyat komited untuk terus menyokong agenda pendidikan negara dengan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.


Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page