Bank Rakyat tawar moratorium sehingga enam bulan untuk mangsa banjir di Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bank Rakyat tawar moratorium sehingga enam bulan untuk mangsa banjir di Sabah


4 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KUALA LUMPUR: Dalam usaha meringankan beban mangsa banjir di Sabah, Bank Rakyat menawarkan bantuan khas yang merangkumi kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman, berkata bantuan ini terbuka kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas di empat daerah yang dilanda banjir iaitu Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.

 

Jelas beliau, Bank Rakyat terpanggil untuk mengurangkan bebanan dan kesulitan yang dihadapi pelanggannya dan berharap agar kemudahan moratorium ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas.

 

“Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat ini yang mana amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.

 

“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini. Ini termasuk bagi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau, pelanggan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

 

“Pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan.”

 

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa.

 

 

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page