top of page

Bank Rakyat Umum Dividen 17 Peratus Untuk 773,859 Anggota

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read


16 April 2025


KUALA LUMPUR: Kumpulan Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 17 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM486.32 juta kepada 773,859 anggota yang layak bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata Bank Rakyat berjaya mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh melebihi 20 tahun.


Katanya, beliau percaya pencapaian ini adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat dalam melaksanakan mandat yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya.



“Ia sekali gus memberikan kesaksamaan dan kemakmuran kepada semua peringkat masyarakat.


“Pembayaran dividen yang akan dilakukan mulai 16 April 2025 ini bukan saja mencerminkan prestasi kewangan yang dicapai, tetapi juga merupakan simbol penghargaan Bank Rakyat terhadap kepercayaan dan sokongan padu yang telah

diberikan oleh anggota kepada Bank Rakyat saban tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Prestasi Kewangan Kumpulan Bank Rakyat, hari ini.



Turut hadir, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff.


Ewon berkata, pencapaian ini wajar dipuji memandangkan Bank Rakyat turut berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global serta landskap perbankan yang semakin mencabar.


Katanya, Kumpulan Bank Rakyat juga akan meneruskan komitmen menyokong pembangunan ekosistem koperasi menerusi sumbangan kepada dua dana amanah utama.


“Ia melibatkan dua peratus keuntungan sebelum cukai dan zakat bernilai RM36.43 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM18.22 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.


“Ia menjadikan jumlah sumbangan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM54.65 juta berbanding RM53.21 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.


Ewon berkata, beliau ingin mengucapkan tahniah kepada Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Pengurusan dan seluruh warga kerja Bank Rakyat atas perkhidmatan dan pencapaian yang membanggakan bagi tahun kewangan berakhir 2024.


Katanya, diharap Kumpulan Bank Rakyat akan meneruskan usaha untuk kekal relevan dalam perkembangan pantas industri perbankan dan terus menyumbang kepada komuniti.


“Ia merangkumi penyediaan penyelesaian perbankan yang berinovasi, mampan dan berdaya cipta, seiring dengan konsep Malaysia Madani agar isu kemiskinan tegar dapat dinoktahkan,” tegasnya.

תגובות


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page