Bantuan awal pengajian YBR ringankan beban ibu bapa di Kudat
17 Disember 2024
KUDAT: Tujuh pelajar menerima bantuan awal pengajian melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Bank Rakyat (YBR) di Kampung Narandang, Bengkoka pada 15 Disember lalu.
Bantuan disampaikan kepada penerima yang diwakili oleh ibu bapa masing-masing oleh Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kudat, Junsim Rumunzing, yang mewakili Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang.
Dalam ucapan perasmiannya, Junsim menzahirkan penghargaan kepada YBR atas usaha murni ini.
Menurut beliau, program ini selaras dengan objektif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diterajui oleh Menterinya Datuk Ewon Benedick.
"Ewon sangat prihatin dengan keperluan rakyat Sabah, khususnya di kawasan yang majoritinya berdepan cabaran sosioekonomi. Beliau melihat pembangunan pendidikan sebagai asas untuk keluar dari kemiskinan, terutama di daerah-daerah termiskin di Malaysia yang kebanyakannya terletak di Sabah," ujar Junsim.
Tambah beliau, bantuan pendidikan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga tetapi juga memberi dorongan kepada pelajar-pelajar untuk lebih fokus dalam pengajian mereka.
"Ewon yang juga Presiden UPKO Malaysia , sememangnya berpendirian teguh untuk sentiasa mendukung pembangunan pendidikan, sosial, ekonomi, dan kerohanian dalam kalangan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar selaras dengan halatuju parti," katanya lagi.
Bagi masyarakat di Kampung Narandang, Bengkoka, program seperti ini dilihat sebagai langkah positif dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan di Sabah serta menyokong keluarga yang berdepan cabaran ekonomi agar anak-anak mereka berpeluang mendapat akses pendidikan yang lebih baik.
Program ini diakhiri dengan sesi ramah mesra bersama hadirin.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Generasi Muda UPKO Kudat, Riezol Sidu, Setiausaha Penganjur UPKO Kudat, Paul Sokulok, dan Ketua Penerangan UPKO Kudat, Navine Lorin.
Comments