Bantuan awal persekolahan diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6
22 Disember 2024
KUALA LANGAT: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) akan diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6 bermula sesi persekolahan 2025/2026 sebagai cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persediaan keperluan persekolahan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bantuan sebanyak RM150 itu adalah yang pertama kali dilaksanakan.
“Peluasan BAP kepada pelajar Tingkatan 6 dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar bagi sesi persekolahan 2025/2026 dengan implikasi kewangan sebanyak kira-kira RM15 juta.
“Inisiatif ini juga membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk terus memperkasakan pendidikan Tingkatan 6. Ia adalah satu langkah ke hadapan untuk menggalakkan pelajar memilih pendidikan Tingkatan 6,“ katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.
Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Tumbuk di sini hari ini.
“Agihan BAP kepada pelajar Tingkatan 6 sedia ada akan dilaksanakan pada bulan Februari 2025, manakala pelajar Tingkatan 6 baharu akan menerima BAP pada bulan Julai 2025,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Fadhlina menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 SJK(T) Ladang Tumbuk dan Perasmian Naik Taraf Dewan Sekolah.
Tambahnya, KPM sentiasa beriltizam untuk meningkatkan akses pendidikan di setiap peringkat melibatkan semua jenis sekolah bawah kelolaannya.
Ia termasuk meluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan Tingkatan 6.
Pada majlis itu, Fadhlina turut menyerahkan peranti tablet kepada murid, sumbangan Yayasan Didik Negara (YDN) dan penghargaan kepada individu yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan sekolah.
Comments