Bantuan SARA diperluas kepada 5.4 juta penerima mulai 1 April

28 Mac 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan memperluaskan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April depan iaitu peningkatan hampir lapan kali ganda, berbanding 700,000 penerima sedia ada.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penerima yang layak akan menerima bantuan SARA sehingga RM2,100 secara keseluruhan pada tahun ini dan ia meningkat 75 peratus berbanding RM1,200 pada tahun lepas.
Katanya, peluasan tersebut merupakan sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun 2025, jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.

“SARA merupakan pendekatan bantuan secara bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
“Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan tersebut akan dikreditkan secara bulanan ke MyKad penerima di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurutnya, 5.4 juta penerima itu terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada di dalam rekod eKasih yang telah menerima sumbangan itu sejak Januari lalu.
“Mulai 1 April 2025, mereka akan menerima bantuan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan, dan RM100 sebulan untuk isi rumah,” katanya.
"Selain itu, 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada yang tidak berada di dalam rekod eKasih turut menerima sumbangan tersebut.
“Mulai 1 April 2025, mereka akan menerima bantuan baharu SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan, dan RM100 sebulan untuk isi rumah,” katanya.
Menurutnya, mulai tahun ini, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada tahun lepas.
“Kaedah pelaksanaan yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024,” katanya.
Comentarios