top of page
Wartawan Nabalu News

BANGUNAN LAMA RTM SABAH WAJAR DISERAHKAN KEPADA KERAJAAN NEGERI



25 Jan 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Tapak dan bangunan lama RTM, Wisma Radio Sabah di KM2.4 Jalan Tuaran, wajar diserahkan semula kepada kerajaan negeri.


Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor semasa menerima kunjungan hormat Radio Sabah Alumni Association (RASA) di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini.


Kunjungan itu diketuai oleh Presiden RASA, Datuk Gan Po Tiau. Turut hadir Setiausaha Agong RASA, Tuan Haji Effendi Sunoh, Bendahari, Rahim Kahar dan Haji Salim Ibrahim (Kordinator Media).



Antara yang dibincangkan dalam kunjungan itu ialah isu berkaitan pengambilalihan semula oleh Kerajaan Negeri tapak dan bangunan lama RTM Sabah yang masih tersergam di atas anak bukit bersebelahan sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan milik Jabatan Audit Negara Cawangan Sabah.


Menurut Gan, Wisma Radio Sabah masih kekal di atas tapak berkenaan atas inisiatif RASA pada 2016, sewaktu keseluruhan tapak itu diserahkan kepada Jabatan Audit Negara oleh pihak Kerajaan Persekutuan.


"Ketua Menteri menyambut baik syor berkenaan dan menyatakan sokongan bahawa tapak berkenaan wajar diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri kerana ianya telah pun diisytiharkan sebagai "Khazanah Budaya Negeri" pada 2017 atas syor yang dikemukakan oleh Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah (KePKAS)," katanya.


Gan berkata, dalam perjumpaan itu, RASA juga mengulangi hasrat dan kesediaannya untuk mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, khususnya dengan KePKAS, bagi kerja-kerja pengekalan dan pemuliharaan Wisma Radio Sabah untuk dijadikannya sebuah Muzium atau Geleri Penyiaran.


"Pada masa sama, di tapak berkenaan juga boleh kita bina sebuah Tugu atau "monument" sebagai memperingati penyertaan Sabah dalam pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.


"Ini kerana Wisma Radio Sabah merupakan sekretariat bagi Suruhanjaya Cobbold yang bermesyuarat dan bersidang di bangunan berkenaan pada Februari 1962", jelasnya.


Gan berkata, RASA mengucapkan terima kasih kepada Hajiji yang telah menyatakan sokongan terhadap perjuangan persatuan itu dan keprihatinannya atas isu-isu yang dibangkitkan, meliputi isu-isu ekonomi, keselamatan dan pembangunan negeri, khususnya Dasar Hala tuju; Sabah Maju Jaya.


"Kami sebagai rakyat yang inginkan kemajuan dan kemakluran berterusan, menyokong penuh Pelan Pembangunan 5 Tahun Negeri Sabah: Hala Tuju; Sabah Maju Jaya, yang diilhamkan oleh Hajiji.


"Kami nampak kesungguhan dan komitmen di pihak Ketua Menteri yang ingin membawa negeri ini ke mercu kejayaan dan kemajuan lebih pesat di masa depan sesuai pelan pembangunan yang holistik merangkumi pelbagai sektor utama negeri seperti pertanian, pelancongan dan perindustrian. Juga dititik beratkan tentang pembangunan modal insan dan pembangunan infrastruktur dengan tidak mengenepikan kelestarian alam sekitar", tegasnya.


RASA adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan pada 2015 dengan keanggotaan daripada para pesara Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah (RTM Sabah) dan mereka yang pernah bertugas di RTM Sabah dalam pelbagai kapasiti.


RASA turut mempelawa Hajiji sebagai ahli dan penuang. Sebagai rekod Hajiji pernah bertugas sebagai penyiar di RTM Sabah pada era 70'an.


Comments


bottom of page