Batik Air Perketat Polisi ‘Power Bank’ Demi Keselamatan Penerbangan

17 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Susulan kebimbangan keselamatan berkaitan penggunaan power bank atau bank kuasa, Batik Air telah memperkenalkan polisi yang dikemas kini bagi memperkukuh langkah keselamatan dalam pesawat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Batik Air berkata, setiap penumpang hanya dibenarkan membawa maksimum dua unit, yang mesti disimpan sendiri pada setiap masa dan tidak boleh dimasukkan ke dalam bagasi kabin.
Katanya, dasar ini adalah selaras dengan peraturan barangan berbahaya yang ditetapkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
“Berdasarkan peraturan itu, bank kuasa yang dibawa ke dalam pesawat tidak boleh melebihi kapasiti 100 watt-jam (Wh) atau 20,000 miliampere-jam (mAh),” katanya.
Syarikat penerbangan tersebut juga berkata larangan menyimpan bank kuasa dalam bagasi berdaftar masih berkuat kuasa bagi semua penerbangannya.
Menurutnya, sebagai langkah meningkatkan keselamatan penerbangan, Batik Air telah mengemas kini polisi sedia ada bagi menangani kebimbangan yang timbul berkaitan penggunaan bank kuasa dalam pesawat.
“Untuk memastikan tahap keselamatan yang lebih baik, penggunaan bank kuasa dalam kabin adalah tidak dibenarkan.
“Selain itu, penumpang juga dinasihatkan supaya berhati-hati jika membawa bank kuasa dengan fungsi auto-magnet kerana ia berpotensi menimbulkan risiko keselamatan tambahan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, bagi memastikan pematuhan polisi Batik Air akan memaparkan notis keselamatan di kaunter daftar masuk serta membuat pengumuman ketika proses menaiki pesawat dan semasa taklimat penerbangan.
Selain itu, katanya, kakitangan di kaunter daftar masuk juga akan menjalankan pemeriksaan terhadap bank kuasa penumpang bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan tidak melebihi had kapasiti yang ditetapkan.
"Batik Air kekal komited dalam mengekalkan standard keselamatan tertinggi, di samping memastikan perjalanan yang selesa untuk semua penumpang.
“Kami juga menghargai kerjasama para penumpang dalam mematuhi polisi yang telah dikemas kini ini, sejajar dengan amalan terbaik industri penerbangan bagi meningkatkan langkah keselamatan," katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai garis panduan bagasi dan peraturan terkini berkaitan bank kuasa, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Batik Air di batikair.com.my/experience/baggage.
Comments