Bayi dan wanita di Hospital Kota Belud disantuni sempena Hari Malaysia dan Maulidur Rasul 2024
17 September 2024
KOTA BELUD: Hospital Kota Belud dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Kota Belud, menganjurkan Program Santuni Bayi dan Wanita Sempena Hari Malaysia dan Maulidur Rasul 2024, hari ini.
Program ini bertujuan meraikan bayi yang lahir pada Hari Malaysia serta mengagihkan hamper dan bakul makanan kepada pesakit wanita yang terdiri daripada golongan B40, asnaf dan ibu tunggal.
Program disempurnakan oleh Pengerusi ALPH Kota Belud merangkap Ketua Pegawai Perhubungan ADUN N11 Kadamaian, Carlye Lajimin.
Turut hadir Timbalan Pengerusi ALPH Kota Belud, Ramlan Ujud, Setiausaha ALPH, Azhrie Jenaim dan Bendahari ALPH Kota Belud, Jaipin Yasap.
Dalam program yang bermula kira-kira 8.30 pagi ini, hamper dan bakul makanan diagih-agihkan kepada bayi, ibu dan pesakit wanita di Wad Bersalin, Wad Perubatan Wanita.dan Wad Wanita Tambahan.
Pengarah Hospital Kota Belud turut menyampaikan hamper dan bakul makanan kepada bayi yang lahir pada Hari Malaysia serta kepada pesakit wanita.
Pihak hospital amat berterima kasih kepada ALPH atas sumbangan dana sebanyak RM1,000 yang digunakan untuk menjayakan program ini.
Usaha murni ini bukan sahaja dapat menyantuni pesakit, malah memperkukuh hubungan antara pihak hospital, pesakit, dan komuniti setempat.
Comments