Bayi Ditinggalkan Dalam Beg
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

25 April 2025
KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki ditemui di dalam beg ditinggalkan di tangga sebuah rumah di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, pagi tadi.
Bayi malang itu ditemui pemilik rumah selepas terdengar bunyi tangisan bayi kira-kira jam 5.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan daripada ketua kampung yang memaklumkan penemuan bayi terbabit ditinggalkan di tangga rumah penduduk.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal.
“Hasil siasatan, bayi terbabit ditemui seorang lelaki tempatan di dalam sebuah beg berwarna hijau dengan dibaluti kain batik.
“Orang awam kemudian menghubungi ketua kampung bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bayi lelaki cukup sifat dan baru dilahirkan berdasarkan bayi itu masih bertali pusat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
“Polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Kasim turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk kampung yang segera melaporkan kejadian itu.
Katanya, kes pembuangan bayi adalah satu kesalahan jenayah yang serius dan tidak berperikemanusiaan.
“Polis menyeru masyarakat supaya sentiasa peka dan prihatin terhadap sebarang kejadian yang mencurigakan di persekitaraan masing-masing.
“Segera melaporkan kepada polis bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara,” katanya.
Comments