top of page

Bayi Ditinggalkan Dalam Kotak

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read


22 April 2025


BEAUFORT: “Ada anak saya dalam kotak ini, Tolong jaga anak saya, semoga dipermurahkan rezeki,”


Demikian ayat yang tertulis pada sebuah kotak yang ditinggalkan di hadapan pintu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Brunei, Membakut, pagi tadi.


Bayi perempuan yang dianggarkan berusia 36 minggu itu ditemui pada jam 6.10 pagi dan ditinggalkan dalam keadaan berbalut kain putih tanpa sebarang maklumat lanjut.



Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang saksi yang mendakwa menemui seorang bayi ditinggalkan di dalam kotak.


Katanya, hasil siasatan awal, saksi mendakwa tersedar dari tidur pada jam 5.40 pagi apabila terdengar bunyi sebuah motosikal berlegar di hadapan rumah.


"Saksi tidak mengesyaki apa-apa tetapi sempat mengintai di tingkap sebelum melihat penunggang motosikal terus beredar.


“Bagaimanapun, pada jam 6.10 pagi hari yang sama, ketika saksi ingin keluar rumah untuk pergi bekerja, dia menemui bayi terbabit bersama tuala dan limau nipis," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Leong Meng berkata, bayi terbabit kemudian dihantar ke Wad Kanak-kanak Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.


"Permohonan untuk mendapatkan sampel darah bayi sudah dihantar untuk tujuan ujian paterniti.


"Polis kini mengesan ibu bayi berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi," katanya.


Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hafizuddin Mohd Tarmizi di talian 012-4175332 atau tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page