Bayi masih bertali pusat ditinggalkan di tepi jalan

8 Mac 2025
SEMPORNA: Orang ramai daerah ini gempar selepas menemui satu bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di atas rumput di Jalan Kampung Keramat, di sini, semalam.
Bagi cukup sifat dan bertali pusat itu ditemui kira-kira jam 1 petang di atas rumput dalam keadaan masih bernyawa.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu daripada orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
Katanya, satu laporan polis terus dibuat oleh orang awam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Bayi seberat 3.1 kilogram itu kemudian dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan tidak menemui sebarang kecederaan pada bayi malang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bayi terbabit kini ditempatkan di Hospital Semporna untuk pemantauan selanjutnya oleh doktor,l.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penemuan bayi ini boleh menyalurkan maklumat di talian IPD Semporna 089-782020 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar Ismail di talian 013-7557293,” katanya
Komentar