BBC KERAJAAN MADANI PUJI KEPIMPINAN BERANI PERDANA MENTERI KEMBALIKAN AUTONOMI PARLIMEN

5 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Kerajaan Madani (Backbenchers Club – BBC) menyambut baik Pindaan Perlembagaan Persekutuan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perkhidmatan Parlimen di Dewan Rakyat semalam.
Langkah bersejarah ini menandakan satu reformasi sebenar dalam memperkasakan kebebasan, autonomi, dan kebertanggungjawaban Parlimen sebagai institusi legislatif tertinggi negara.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Backbenchers Club – BBC berkata, mereka memuji kepimpinan serta komitmen Perdana Menteri dalam merealisasikan reformasi institusi yang menyeluruh.
Katanya, pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen ini juga bukti nyata kesungguhan Kerajaan Madani dalam memperkukuh prinsip pemisahan kuasa, menyubur demokrasi, serta memastikan ketelusan dan tadbir urus yang baik.
“Dengan pengembalian akta ini, Parlimen akan berfungsi dengan lebih efektif dan bertanggungjawab.
“Parlimen akan mempunyai kuasa penuh untuk menggubal undang-undang, melaksanakan mekanisme semak dan imbang yang lebih berkesan, serta memastikan wacana yang bermakna demi kepentingan rakyat,” katanya.
Selain itu katanya, akta ini juga merangkumi kebebasan dana dan kawalan kewangan institusi Parlimen yang menjadi salah satu aspek penting.
“Dengan kemampuan mengurus sumber kewangan secara autonomi, Parlimen tidak lagi bergantung sepenuhnya pada pengaruh eksekutif.
“Ini membolehkan pengagihan dana yang lebih telus, efisien, dan berorientasikan keperluan rakyat,” katanya.
Sementara itu, mengenai Pengurusan Sumber Manusia, Akta Perkhidmatan Parlimen turut memperkenalkan model hibrid bagi meningkatkan kecekapan Parlimen.
Katanya, pendekatan ini memastikan kelancaran operasi, mengekalkan kepakaran khusus dalam urusan perundangan, dan memenuhi keperluan semua pihak, termasuk Ahli-Ahli Yang Berhormat dan pegawai yang terlibat.
“Kelab Penyokong Kerajaan Madani kekal teguh dalam menyokong segala inisiatif yang memperkukuh institusi demokrasi dan memastikan keluhuran Perlembagaan terus dipertahankan, dengan bertekad untuk memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan yang benar-benar bebas, berkesan, dan selari dengan aspirasi rakyat.
“Pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen ini adalah kemenangan besar bagi demokrasi Malaysia, dan kami menantikan pelaksanaannya yang efektif bagi meningkatkan akauntabiliti dan kredibiliti Parlimen demi masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya.
Comments