top of page
nabalunews

Beberapa daerah di Sabah dijangka akan mengalami banjir



20 Disember 2024


KOTA KINABALU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia telah mengeluarkan ramalan awal banjir untuk beberapa daerah di Sabah.


Ramalan tersebut dikeluarkan berikutan amaran hujan berterusan (Waspada) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada pagi tadi.


Menurut kenyataan JPS, banjir dijangka berlaku bermula 20 Disember hingga 22 Disember di kawasan bahagian pedalaman seperti Sipitang, Beaufort, Tenom, Kuala Penyu, Keningau, dan Tambunan.


Banjir dijangka memberi kesan kepada beberapa kawasan di pantai barat Sabah (Ranau dan Kota Belud), terutamanya di lembangan sungai seperti Sungai Abai, Sungai Tempasuk, Sungai Kadamaian, Sungai Kawang-Kawang, Sungai Wariu, Sungai Labuk, Sungai Sugut, Sungai Bandau, dan Sungai Keguraan.


"Di Tawau (Lahad Datu), kawasan lembangan sungai seperti Sungai Segama, Sungai Silabukan, dan Sungai Sepagaya berisiko terjejas.


"Sementara itu, Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran) dijangka mengalami banjir di anak sungai, Sungai Kinabatangan dan lembangan sungai seperti Sungai Maruap, Sungai Kretam Besar, Sungai Labuk, Sungai Sugut, Sungai Paitan, dan Sungai Bongaya.


"Di Kudat pula, lembangan sungai yang terbabit termasuk Sungai Sikuati, Sungai Temalang, Sungai Sri Aman, Sungai Malubang, Sungai Telaga, Sungai Tapurau dan Sungai Bongon," menurut kenyataan itu.


JPS memaklumkan bahawa banjir mungkin berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang diramalkan, bergantung kepada jumlah hujan di lembangan sungai terlibat.


Pihak berkuasa dan penduduk di kawasan berisiko tinggi diminta berwaspada serta mematuhi arahan agensi pengurusan bencana.


Untuk maklumat lanjut dan terkini, orang ramai boleh melayari laman web publicinfobanjir.water.gov.my atau mengikuti Facebook PublicInfoBanjir.


Hebahan ini dikeluarkan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

Comments


bottom of page