nabalunews
Bekalan elektrik di 17 premis judi di Penampang dipotong
20 November 2024
PENAMPANG: Bekalan elektrik di 17 premis yang menjalankan kegiatan perjudian di daerah ini, dipotong oleh Polis dan Sabah Electricity, semalam.
Operasi pemotongan bekalan elektrik itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan dibantu empat petugas Sabah Electricity.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, semua premis berkenaan sudah diambil tindakan dalam serbuan yang dijalankan sebelum ini.
“Semua serbuan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan telah dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tindakan ini adalah komitmen IPD Penampang dalam membanteras sebarang aktiviti perjudian haram di daerah ini selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Katanya, mereka yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas.
“Kita akan sentiasa melakukan operasi dan turut berharap orang ramai berkongsi maklumat sekiranya mengetahui kewujudan aktiviti perjudian di kawasan masing-masing.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan jenayah boleh menyalurkan maklumat berkenaan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Penampang di talian 088-712222,” katanya.
Comments