Bekalan elektrik kerap terputus, peniaga kerugian besar
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_1095432c1e9b4021b1fc89340fc58aee~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_490,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_1095432c1e9b4021b1fc89340fc58aee~mv2.jpg)
30 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pemilik Restoran Pak Mus Tanjung Aru Plaza Musli Oli mendakwa masalah gangguan bekalan elektrik dan air yang kerap berlaku di Sabah terutamanya kawasan bandaraya Kota Kinabalu menyebabkan kerugian besar kepada para peniaga.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkenaan supaya mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah itu dan bukan sekadar ambil lewa.
“Pada 28 Julai (Khamis) lalu karan (bekalan elektrik) terputus selama lima jam (trip substation Tanjung Aru). Perniagaan alami kerugian yang banyak kerana kehilangan pelanggan.
“Hari ini (30 Julai) sejak jam 4.30 pagi sekali lagi bekalan elektrik terputus (trip substation Kepayan) dan kami tidak dapat masak dan membuat persediaan untuk membuka perniagaan. Sekali lagi perniagaan berdepan kerugian,” katanya dalam perkongsian melalui Facebooknya hari ini.
Musli berkata, para peniaga di Sabah terpaksa berhadapan risiko tinggi memulakan perniagaan kerana kelemahan pengurusan kerajaan negeri menyelesaikan keperluan asas rakyat.
“Besar kemungkinan saya terpaksa mengambil keputusan mengecilkan perniagaan atau terus menutup operasi.
“Pemimpin Sabah lantang melaungkan slogan “Sabah Maju Jaya namun realitinya pembangunan dan kemudahan asas seperti air dan bekalan elektrik masih jauh ketinggalan.
“Di Sabah kekerapan putus karan (elektrik) merupakan fenomena biasa. Kadang-kadang ia menjadi bahan gurauan.
“Keadaan jalanraya berlubang, parit tersumbat, jambatan roboh dan kemudahan awam yang teruk juga adalah fenomena biasa. Ia juga kerap dijadikan bahan lelucon. Demikian juga kemiskinan dan bebanan hidup rakyat juga dianggap fenomena biasa dan isu gurauan,” katanya.
Musli berkata, sikap rakyat yang tidak serius melihat isu kemunduran mereka sendiri merupakan punca utama kenapa sebahagian besar pemimpin Sabah tidak serius dan menganggap masalah yang melanda rakyat dan Sabah adalah perkara biasa.
“Pemimpin terus dengan sikap sambil lewa dan ada pemimpin kata jika ada masalah mereka jadi ATM kepada rakyat. Pemimpin itu bercakap dalam dewan yang mulia. Hakikatnya pemimpin sangat selesa pertahan status quo bukan bersungguh-sungguh cuba mencari Ikhtiar menangani masalah rakyat.
“Retoriknya pemimpin Sabah suka bercakap soal pembangunan. Konon membawa masuk pelaburan dan menambah peluang pekerjaan tapi kemudahan asas dalam negeri yang sangat basic seperti bekalan air dan api masih tidak mencukupi.
“Saya sebagai pengusaha restoran sangat terkesan dengan masalah api dan air. Restoran saya memberi pekerjaan kepada 40 rakyat tempatan tetapi kerap mengalami kerugian akibat masalah bekalan api dan air,” katanya.
Comments