BEKALAN TELUR AYAM DALAM NEGARA KEKAL STABIL DAN MENCUKUPI

22 Mac 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan telur ayam di Malaysia kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, pihak KPKM sentiasa bekerjasama erat dengan para pengeluar telur tempatan bagi memastikan tahap pengeluaran telur harian berada pada paras yang stabil dan memuaskan.
Katanya, bagi menjamin kestabilan bekalan, KPKM sentiasa melaksanakan pemantauan rapi ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir.

“Langkah penguatkuasaan juga terus diperkuatkan dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi serta Kementerian lain bagi mengawal sebarang aktiviti penyeludupan makanan ke luar negara.
“Kerajaan Malaysia akan terus memastikan kestabilan bekalan makanan negara berada pada tahap yang terbaik melalui dasar dan pelan strategik yang menyeluruh, termasuk pelaksanaan program bagi memperkukuh kapasiti pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Mohamad berkata, rakyat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi KPKM.
Katanya, kementerian juga akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin.
Terdahulu, kenyataan berkenaan dikeluarkan bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul daripada beberapa laporan media sebelum ini.
Laporan berkenaan berkaitan kenaikan mendadak harga telur ayam di Amerika Syarikat serta dakwaan kemungkinan berlaku penyeludupan telur ayam ke luar negara.
Kommentare