top of page
nabalunews

Bekas ahli One Direction, Liam Payne maut di Hotel Buenos Aires


17 Oktober 2024

 

BUENOS AIRES: Bekas ahli kumpulan pop terkenal One Direction, Liam Payne, dilaporkan meninggal dunia pada usia 31 tahun setelah terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina, pada Rabu.

 

Menurut laporan media antarabangsa, insiden tragis itu berlaku di hotel tempat Payne menginap, dan pihak polis serta ambulans segera bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan.

 

“Kami menerima laporan tentang seorang lelaki agresif yang mungkin berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol,” kata pegawai polis. Payne disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, di patio teres dalaman hotel.

 

Kematian Payne mengejutkan para peminatnya di seluruh dunia, dengan kenyataan duka turut dikongsi oleh pelbagai pihak termasuk stesen MTV, yang menyatakan, "Hati kami bersama keluarganya, orang tersayang, dan para peminat dalam saat sukar ini."

 

Payne dikenali sebagai salah seorang ahli kumpulan One Direction, yang melonjak populariti setelah menduduki tempat ketiga dalam rancangan pertandingan muzik X Factor versi British pada tahun 2010. Kumpulan tersebut dibubarkan pada tahun 2016 ketika ahli-ahlinya memilih untuk meneruskan projek solo.

Comments


bottom of page