top of page
nabalunews

Bekas Ahli Parlimen Putatan membayangkan akan bertanding di Tanjung Aru



Datuk Dr Marcus Mojigoh

12 January 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News


KOTA KINABLU: Bekas Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh membayangkan beliau mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru akan datang sekiranya UPKO tidak diberi peluang meletakkan calon di kawasan itu.


Dr Marcus berkata, beliau tidak kisah membelanjakan wang sendiri dan bertanding sebagai calon bebas.


“Jika UPKO (Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu) tidak diberi peluang, dan jika parti politik terus bertelaga sesama sendiri dan bukannya bersatu, saya akan pertimbangkannya (bertanding sebagai calon bebas),” katanya kepada wartwan di PAWE (Pusat Aktiviti Warga Emas) dekat sini.


Bagaimanapun, Dr Marcus berkata, sekiranya UPKO diberi peluang bertanding di Tanjung Aru, beliau akan memberikan sokongan penuh kepada calon parti itu.


Beliau kesal dengan jumlah parti politik yang berlebihan di Sabah, yang menurutnya menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat. "Ia hanya menunjukkan betapa kita semua tidak bersatu," katanya.


Dr Marcus menambah bahawa matlamatnya adalah untuk memperoleh sekurang-kurangnya 2,000 undi jika dia bertanding, memastikan dia tidak kehilangan depositnya.


Beliau menganggarkan terdapat kira-kira 20,000 pengundi di Dun Tanjung Aru yang merangkumi kawasan Tanjung Aru, Sembulan dan Pulau Gaya.


Jika dipilih, beliau berikrar akan menangani isu yang sudah lama berlarutan di kawasan itu, termasuk pencemaran bunyi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, yang menjejaskan kawasan perumahan dan sekolah berhampiran, serta tempat ibadat, hospital, hotel dan kawasan komersial.


"Bayangkan betapa sukarnya pelajar di Tanjung Aru untuk menumpukan perhatian semasa belajar, sentiasa terganggu dengan bunyi deruan kapal terbang yang lalu lalang," kata Dr Marcus, yang juga bekas pelajar SM La Salle, yang terletak di kawasan itu dan sering digangu oleh bunyi bising.


Sekolah lain yang terjejas termasuk SK Tanjung Aru 1, SK Tanjung Aru 2, SJK Stella Maris, SM Sanzac dan Maktab Sabah.


Beberapa institusi pengajian tinggi juga terletak berhampiran lapangan terbang.


"Bunyi bising ini juga turut menjejaskan tempat ibadat, hospital, hotel dan kawasan komersial.


Dr Marcus berikrar untuk terus menyokong penempatan semula lapangan terbang ke tapak yang lebih sesuai, yang akan membolehkan pengembangannya sebagai lapangan terbang antarabangsa kedua paling sibuk di Malaysia.


“Penempatan semula lapangan terbang juga akan membolehkan pembinaan bangunan tinggi di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya, kerana sekatan ketinggian semasa sedang dilaksanakan berikutan kedudukan lapangan terbang yang berdekatan,” katanya.


Satu lagi isu yang dekat di hati Dr Marcus ialah nasib pemilik rumah asal Kg Sembulan secara amnya.


Beliau menggesa Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan dua ekar tanah di kawasan Sembulan untuk membina bangunan pangsapuri empat tingkat bagi menempatkan pemilik rumah yang terjejas akibat pembangunan yang berlaku di kawasan itu.


"Demi kemanusiaan, kerajaan mesti menyediakan ini untuk mereka," katanya.


Beliau percaya pemilik rumah yang terjejas di Kg Sembulan tidak mendapat pampasan yang mencukupi di atas kehilangan rumah mereka untuk memberi laluan kepada pembangunan.


Dr Marcus turut kesal dengan keadaan perkampungan air di Kg Tanjung Aru, Kg Sembulan, dan Pulau Gaya.


“Tiada sistem pembetungan yang sempurna dipasang di perkampungan air ini, jadi boleh bayangkan najis yang dilepaskan ke dalam air termasuk najis manusia. Kawasan ini berbau sampah. Semasa air pasang, anda boleh melihat plastik dan sisa lain terapung di sepanjang sungai Sembulan dan Karamunsing.


Ia adalah pemandangan yang menyedihkan. Saya tidak tahu sama ada Dewan Bandaraya melakukan apa-apa mengenainya. Ini bukan kritikan, tetapi ia adalah fakta. Seseorang perlu membuat bising mengenainya, dan saya bersedia untuk membuat bising,” katanya.


Beliau mengingatkan semua pihak bahawa kawasan ini adalah pemandangan penuh tetamu, termasuk pelancong yang menginap di hotel berdekatan.


"Ia sangat memalukan," katanya.


Dr Marcus juga mendakwa kampung air di Kg Sembulan terkenal dengan penyalahgunaan dadah dan pendatang tanpa izin.


Beliau mendakwa beberapa wakil rakyat hanya lantang bersuara sekarang, hampir pilihan raya, tetapi sebelum ini diam dan tidak hadir.


Beliau turut menekankan potensi Pulau Gaya, menggesa kerajaan mengutamakan pembangunannya sebagai destinasi pelancongan.


“Kita perlu membangunkan pulau itu sebagai destinasi pelancongan.


Malangnya, kerajaan tidak memberi keutamaan pada masa ini,” katanya.

Comments


bottom of page