top of page
nabalunews

BELANJAWAN 2021: ELAUN CARI KERJA DILANJUT 3 BULAN



6 Nov 2020

KUALA LUMPUR: Tempoh pemberian Elaun Mencari Pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) akan dilanjutkan selama tiga bulan untuk tahun depan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata sebanyak RM150 juta diperuntukkan untuk tujuan itu yang dijangka memanfaatkan 130,000 pencari kerja.

Katanya pada masa ini, Elaun Mencari Pekerjaan ini diberi selama enam bulan dengan kadar layak menuntut 80 peratus untuk bulan pertama dan beransur-ansur berkurang kepada 30 peratus gaji.

“Sehubungan itu, untuk 2021, tempoh Elaun Mencari Pekerjaan akan dilanjutkan selama tiga bulan dan kadar layak menuntut daripada 80 peratus gaji untuk bulan pertama, 50 peratus untuk bulan kedua hingga keenam dan seterusnya 30 peratus bagi tiga bulan terakhir,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan melanjutkan pelaksanaan Program Subsidi Upah selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Selain itu, katanya had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan dinaikkan kepada 500 pekerja.

“Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan dan dijangka membantu kira-kira 70,000 majikan dan 900,000 pekerja,” katanya.

Tengku Zafrul turut memaklumkan hingga 31 Okt lepas, kerajaan telah menyalurkan RM12.5 bilion untuk membiayai Program Subsidi Upah yang membantu 2.7 juta pekerja dan lebih 330,000 majikan.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan turut menyediakan RM24 juta bagi caruman di bawah Skim Bencana Pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial untuk manfaat pekerja dalam empat kumpulan.

Katanya kumpulan pertama melibatkan anggota pasukan sukarelawan angkatan tentera, sukarelawan simpanan polis , sukarelawan pertahanan awam dan sukarelawan maritim.

Kumpulan kedua meliputi guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan merbut, manakala kumpulan ketiga melibatkan pekerja sektor awam berstatus ‘contract for service’.

“(Kumpulan keempat) Bagi menghargai sumbangan delivery riders yang menjadi barisan sokongan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, inisiatif ini turut dipanjangkan kepada 40,000 delivery riders,” katanya. - Bernama

Comments


bottom of page