Belanjawan 2022: Fokus kepada peningkatan ekonomi rakyat Sabah – UPKO
22 Okt 2021
Oleh Ilona Andrew dan Jacquline Ebit
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung UPKO Dr Peter Jr Naintin berkata Belanjawan Nasional 2022 yang akan diumumkan tidak lama lagi perlu fokus kepada peningkatan ekonomi rakyat di Sabah.
Katanya, pandemik Covid-19 merupakan tamparan paling perit golongan miskin yang berpendapatan rendah dan oleh kerana kebanyakkan rakyat tidak mempunyai simpanan dan perlindungan keselamatan seperti insuran terpaksa menganggur dan ini telah memberi impak kepada ekonomi sosial di Sabah.
“Pada pendapat saya, dari perspektif Sabah, cabaran ini tertumpu kepada dua kategori utama iaitu keperluan asas rakyat seperti perumahan, bekalan air bersih, pengurusan kumbahan dan kesihatan; dan kesejahteraan rakyat yang merangkumi kemudahan pendidikan, keselamatan tempat, akses maklumat dan komunikasi.
“Perlu adanya dasar dan pelan tindakan untuk lindung rakyat Malaysia yang terdedah ini di mana strategi perlu dibuat secara menyeluruh, inklusif dan berimpak lestari,” katanya semasa sesi webinar bersama WISDOM Foundation, baru-baru ini.
Tambahnya, kerangka tersebut perlu diurus dengan serius untuk jangka panjang dan polisi itu perlu lebih fokus dalam menyelesaikan masalah, peningkatan rakyat miskin terutama sekali di Sabah, Sarawak dan Kelantan.
Menurut Peter lagi, aktiviti ekonomi di Sabah, terutamanya sektor pembuatan, juga perlu ditingkatkan kepada 30 peratus, namun ia agak mencabar kerana ia berkenaan infrasturktur yang ada.
“Walau bagaimanapun, wilayah Sabah terkenal dengan aktiviti pengekstrakan petroleum dan gas asli yang dijalankan oleh syarikat gergasi. Pada ketika ini, setahu saya belum ada lagi kilang penapis dan penyimpan minyak petroleum di Sabah, mungkin dalam pembinaan sekarang di Sipitang.
“Untuk menarik pelabur asing, pendekatan yang lebih fleksibel diperlukan untuk memperkenalkan dasar penglibatan pelanggan dalam menyediakan tapak fasiliti untuk mereka.
“Sebagai rekod, Petronas telah melaburkan sebanyak RM1.5 billion untuk projek SAMUR untuk memenuhi keperluan sektor pertanian di mana Sabah menggunakan 30 peratus untuk proses tersebut.
“Kita tahu sektor pertanian boleh membawa kelebihan dan kekayaan sekiranya aktiviti R&D kita dan penggunaan teknologi terkini dilaksanakan menyeluruh untuk meningkatkan produltiviti tanaman,” katanya.
Sementara itu, Peter berpendapat bahawa dasar tenaga buruh juga perlu membuka ruang lebih besar kepada pemuda dan pemudi untuk berkecimpung dalam bidang pertanian dan sudah pasti ramai yang akan menerokai bidang ini jika gaji minima dapat dipertingkatkan kepada RM1,500, misalnya.
“Namun, ramai yang berpendapat sekiranya gaji minima itu sebanyak RM1500, syarikat kelapa sawit misalnya, akan jatuh bankrap. Sebenarnya ia bergantung kepada inisiatif kerajaan untuk memberikan sektor pertanian itu cukai insentif yang lebih baik. Dengan berbuat demikian, lebih banyak pekerja tempatan akan memilih untuk bekerja dalam sektor pertanian.
“Kita juga melihat dari segi kitaran ekonomi di setiap daerah, tempatan di kawasan luar bandar lazimnya tidak mempunyai rantai bekalan yang cukup berbanding kawasan lain di mana hasil pendapatan petani tempatan tersebut pada tahap yang rendah.
“Ini menyebabkan keperluan infrastruktur di kawasan tersebut tidak menjadi keutamaan dan mengakibatkan pembangunan luar bandar tidak berkembang serta menjadikan daerah tersebut miskin,” jelasnya.
Kata Peter lagi, kebanyakkan penduduk miskin seperti di daerah Tongod, Beluran, Telupid dan Pitas ini bukan disebabkan ketiadaan pekerjaan tetapi dinamik ekonomi di luar bandar itu menyebabkan mereka tidak mempelopori pertanian dengan teknologi yang tinggi.
Ujarnya, mereka masih bertani secara konvensional dan hasil pendapatan pertanian atau produktiviti yang diperoleh hanya cukup untuk menampung kelangsungan hidup sahaja.
Selain itu, Peter menyatakan bahawa banyak lagi perkara yang perlu dilakukan bagi meningkatkan ekonomi rakyat, antaranya untuk mengkaji semula pelan induk air di Sabah bagi memastikan sumber air di Sabah berkelangsungan dan mampan.
“Kita ketahui dalam lima tahun akan datang, kita akan mengalami masalah air, bukan sahaja industri tetapi juga penduduk Sabah.
“Contohnya di Sandakan, besar kemungkinan kita akan ada masalah air pada tahun 2029 disebabkan sumber air yang diambil dari Sungai Kinabatangan dan Segaliud cukup tercemar dengan aktiviti pembangunan sekelilingnya, terutama sekali aktiviti pertanian kelapa sawit.
“Justeru, saya minta agar adanya kajian induk sumber air yang baru supaya sumber air kita ini lebih murah dan membantu dalam industri pertanian serta indsutri yang lain,” jelasnya.
Dalam kadar kemiskinan pula, Peter berkata, perlu ada penyelesaian untuk membantu negeri Sabah daripada modal insannya agar lebih berdaya saing.
Katanya, rakyat tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan yang diberi oleh kerajaan kerana itu hanyalah penyelesaian jangka pendek.
“Kita sebenarnya ada kementerian-kementerian yang membantu rakyat dari segi kemiskinan, tetapi tiada polisi yang unggul dan utama yg menjurus ke arah itu.
“Data kemiskinan ini tidak terokai dan tidak diterjemah kepada polisi yang baik, tidak ada satu pun data atau komitmen dari kerajaan untuk membantu rakyat Sabah yg miskin ini.
“Kerajaan perlu meneliti polisi-polisi yang sedia ada … Kita boleh mengambil pelbagai polisi di negara lain untuk kita adaptasi dan bantu rakyat kita.
“Sabah, Sarawak dan Kelantan yang disebut sebagai negeri termiskin namun negeri-negeri ini juga merupakan pengeluar sumber yang banyak. Tetapi, kenapa kita boleh menjadi rakyat yang miskin dan terlalu bergantung kepada Kerajaan?”
Comments