top of page
nabalunews

Belanjawan 2025 : Bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan sektor koperasi dan keusahawanan.



21 Oktober 2024


KOTA KINABALU : Belanjawan 2025 memberi fokus besar kepada pembangunan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan sokongan kewangan.


Dengan landskap ekonomi yang semakin mencabar, kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah untuk memastikan usahawan kekal relevan, berdaya saing, dan mampu berkembang di peringkat tempatan serta global.


Mengulas mengenai Belanjawan 2025,

Pengerusi Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh, Kinabatangan Berhad, (KOPEL BERHAD), Abdul Sanih Nasri menyambut baik peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebanyak RM815 juta.


Katanya ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan sektor koperasi dan keusahawanan.


"Saya berharap sebahagian besar daripada RM551.9 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan dapat diagihkan secara efektif, terutamanya untuk membangunkan koperasi di luar bandar, dengan fokus khas kepada Sabah dan Sarawak yang masih memerlukan sokongan besar dalam aspek ini.


Abdul Sanih berkata Kerajaan MADANI menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap pembangunan inklusif, terutamanya dalam mengangkat peranan wanita dan belia dalam keusahawanan.


Katanya dana khusus berjumlah RM650 juta untuk wanita dan belia yang berminat menceburi bidang keusahawanan, adalah selaras dengan matlamat SDG 5 (Kesaksamaan Gender), SDG 8 (Pekerjaan yang Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) dan SDG 17 (Kerjasama untuk Mencapai Matlamat).


"Harapan saya ialah dana ini dapat digunakan untuk memperkasakan wanita, terutamanya di luar bandar, melalui program yang khusus membantu mereka dalam membangunkan perniagaan serta koperasi yang boleh memacu ekonomi tempatan.


"Satu langkah yang boleh dipertimbangkan ialah menubuhkan "Dana Pemimpin Wanita Berpengaruh" atau "Women Changemaker's Fund" di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.


"Ini akan memfokuskan kepada perniagaan yang diketuai wanita dan menyelesaikan keperluan komuniti, dengan tumpuan kepada impak sosial dan kemampanan," katanya.


Abdul Sanih berkata penubuhan hab koperasi atau jaringan bimbingan khusus untuk wanita di kawasan ini juga akan menggalakkan pertumbuhan perniagaan yang lebih mampan serta mengukuhkan hubungan komuniti.


Mengenai peruntukan RM20 juta untuk

Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), beliau berkata peruntukan untuk program TUBE mencerminkan kepercayaan kerajaan terhadap peranan belia sebagai pemacu utama pertumbuhan sosio-ekonomi negara.


Program ini sejajar dengan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan).


"Saya berharap fokus program ini turut meliputi belia Bumiputera di Sabah dan Sarawak, yang terlibat dalam pelbagai inisiatif keusahawanan dan koperasi," katanya.


Bagi memaksimumkan manfaat program ini, Abdul Sanih mencadangkan kerajaan untuk memperkenalkan inisiatif seperti "Youth Leadership in Sustainability" yang bertujuan menggalakkan belia mencipta penyelesaian terhadap isu-isu alam sekitar dan sosial tempatan.


"Ini akan melibatkan belia dalam keusahawanan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, selaras dengan SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim).


"Selain itu, dana TUBE juga boleh diperuntukkan kepada program seperti "Emerging Leaders Accelerator", yang memberi peluang kepada belia untuk mendapat bimbingan, akses kepada pembiayaan, serta rangkaian industri yang boleh membantu membina perniagaan berdaya tahan dengan amalan lestari dan beretika," katanya.


Secara keseluruhan, Abdul Sanih berharap Belanjawan 2025 di bawah kerajaan MADANI akan melaksanakan program-program yang lebih berkesan dan inklusif.


"Saya percaya wanita dan belia Bumiputera adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah, terutamanya di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.


"Oleh itu, tumpuan kepada pembangunan koperasi dan usahawan di negeri-negeri ini amatlah penting," katanya.


Untuk rekod, Kampung Batu Puteh telah menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB (UNWTO) sebagai Kampung Pelancongan Terbaik (BTV) pada tahun 2021 di Madrid, Sepanyol.


Pengiktirafan ini menjadi titik permulaan bagi KOPEL Bhd. untuk dikenali di peringkat antarabangsa.


"Sejak itu, kami terus berkongsi pengetahuan kami dengan pelbagai pihak tempatan dan global, sekaligus memperkukuhkan kedudukan kami sebagai pelopor koperasi ekopelancongan berasaskan komuniti.


"Walaupun kami beroperasi dari kawasan luar bandar di Kinabatangan, Sabah, kami berbangga dapat berkongsi kejayaan ini dengan dunia.


"Oleh itu, saya mengajak semua pihak untuk datang dan merasai sendiri pengalaman unik yang ditawarkan oleh KOPEL di Kampung Batu Puteh.


"Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh Pasukan KOPEL Bhd., termasuk Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan, dan ahli koperasi, atas dedikasi, kesetiaan, dan usaha gigih mereka.


"Dengan usaha bersama, kita telah berjaya membawa nama Kampung Batu Puteh dan KOPEL Bhd. ke pentas dunia!," katanya.

Comments


bottom of page