Belanjawan 2025: Isi rumah miskin dengan tiga anak layak terima lebih RM13,000 setahun
20 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini yang bakal memanfaatkan sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia peningkatan tertinggi disalur kerajaan bagi STR dan SARA untuk membantu rakyat.
“Maka, untuk tahun 2025 kita akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion ketimbang RM10 bilion.
“Tahun hadapan, 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, ketimbang 700,000 penerima tahun ini,” jelasnya.
Tambahnya, bantuan SARA itu akan dikreditkan kepada penerima mulai April 2025.
“Ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.
“Kategori bujang akan menerima STR RM600 ringgit. Penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum diterima maknanya isi rumah meningkat kepada RM4,600 ringgit, ketimbang RM3,700 ringgit,” jelasnya lagi ketika mengumumkan membacakan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Tambah Anwar, keseluruhan bantuan STR, SARA dan JKM yang layak diterima isi rumah miskin dengan tiga anak adalah lebih RM13 ribu setahun.
“Untuk warga emas miskin pula layak menerima bantuan lebih RM10 ribu setahun ketimbang 8,000 ringgit. Ini bermakna tidak ada rakyat di Malaysia yang berpendapatan kurang 1,100 sebulan dan ini belum mengambil kira bantuan daripada Kerajaan Negeri, Zakat dan Yayasan,” katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan bayaran STR 2024 Fasa 4 akan disalurkan kepada penerima bermula 7 November ini.
Bayaran Fasa 4 ini melibatkan peruntukan RM1.7 bilion.
Comments