top of page
nabalunews

Belanjawan 2025: Kerajaan Persekutuan perlu ambil kira keperluan pendidikan, naik taraf sekolah daif di Sabah

7 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta meneliti dan mengambil kira keperluan prasarana dan kemudahan asas pendidikan di Sabah dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober ini.


Focal person Kebangsaan Kementerian Pendidikan di Sabah, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata Sabah memerlukan perhatian khusus dalam aspek prasarana dan kemudahan asas pendidikan yang perlu ditingkatkan.


"Seperti yang kita maklum, Sabah memerlukan perhatian khusus dalam usaha meningkatkan prasarana dan kemudahan asas pendidikan, termasuk penyediaan perabot seperti kerusi dan meja untuk para pelajar di seluruh negeri.


"Justeru, saya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan meneliti keperluan-keperluan ini dengan lebih serius melalui Belanjawan 2025.


"Antara cadangan saya termasuklah menaik taraf sekolah-sekolah yang daif, memperbaiki jalan-jalan yang menghubungkan sekolah dengan kemudahan berturap, serta memastikan kemudahan asas seperti perabot pelajar disediakan dengan baik," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat sempena sambutan Hari Jadi Rasmi ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, Kota Kinabalu, semalam.


Mohammad Arif menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk dari Tun Juhar.


Mohammad Arif turut mencadangkan agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sabah diberikan geran khas untuk memastikan mereka mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu pembelajaran di negeri ini.


Katanya beliau akan terus bekerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk merangka langkah-langkah dan strategi bagi memastikan semua sekolah, khususnya di kawasan pedalaman Sabah, mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan.


"Beberapa program lawatan telah dirancang untuk tujuan ini. Antara inisiatif utama yang sedang dan akan dilaksanakan adalah program kerjasama PIBG dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).


"Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan. Ini adalah langkah penting untuk memastikan mereka lebih peka dan komited terhadap proses pembelajaran anak-anak," tegasnya.


Mohammad Arif berkata negara juga perlu menyesuaikan diri dengan era digital menerusi sistem pembelajaran digital.


Sehubungan itu beliau mencadangkan agar sekolah-sekolah di Sabah dilengkapi dengan peralatan digital seperti televisyen pintar, rangkaian selular, dan lain-lain peranti untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.


"Langkah ini akan memberi impak besar dalam melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dalam dunia digital," katanya.


Katanya bagi memantapkan kumpulan sokongan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sabah, adalah penting untuk memperkasakan penglibatan komuniti dan sektor swasta melalui Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) bagi memastikan sokongan yang lebih kukuh terhadap sistem pendidikan di negeri ini.


"Penglibatan yang lebih aktif dari sektor ini akan membantu menambah baik prasarana dan program pendidikan di Sabah.


"Kesemua inisiatif ini adalah penting bagi memastikan pendidikan di Sabah terus berkembang maju, seterusnya melahirkan generasi yang lebih cemerlang," katanya.


Beliau turut mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua pihak bekerjasama dalam menangani isu keciciran pelajar yang kian meruncing di negara ini.


Katanya beliau amat mengalu-alukan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan kepada pelajar-pelajar yang tercicir khususnya di Sabah.


Katanya langkah ini adalah untuk memastikan semua pelajar tanpa pengecualian dapat menikmati segala bentuk kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan, sejajar dengan hasrat untuk memperkasakan sektor pendidikan di negara ini.

Commenti


bottom of page