top of page
nabalunews

Belanjawan 2025: Kerajaan peruntuk RM470 juta untuk perkasa PMKS wanita


18 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Bagi memperkasakan wanita dalam sektor perniagaan, kerajaan menyediakan dana berjumlah RM470 juta melalui SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, dan MARA untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita dalam mendapatkan modal kerja, pembelian aset, serta meningkatkan kapasiti perniagaan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah ini ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.


Jelas beliau, ini adalah antara usaha kerajaan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja.


Selain itu, Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) akan diperhebat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melahirkan lebih ramai tokoh korporat wanita.


Menurut laporan Bernama, Anwar turut menyentuh pencapaian penglibatan wanita dalam jawatan lembaga pengarah, dengan purata 32.2 peratus dalam 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Saham setakat 10 Oktober.


Namun, beliau menyeru 39 syarikat yang masih belum mencapai sasaran 30 peratus untuk memenuhinya sebelum akhir 2027.


Program Returnship juga akan diperkenalkan bagi membantu wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan, dengan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus bagi majikan yang menggaji wanita yang kembali bekerja.


Selain itu, RM5 juta diperuntukkan untuk program Ikhtiar 1,000 Hari Pertama Kehidupan bagi menangani risiko bayi baharu lahir dijangkiti Hepatitis B.


Bagi kebajikan warga emas, kerajaan meningkatkan peruntukan kepada RM1 bilion dan merancang pelepasan cukai untuk penjagaan kesihatan dan sukan.


Kerajaan juga menambah bantuan kepada orang kurang upaya (OKU), dengan peruntukan ditingkatkan kepada RM1.3 bilion, termasuk syarat kelayakan gaji bagi Bantuan Elaun Pekerja OKU yang dinaikkan kepada RM1,700 serta pelepasan cukai tambahan bagi OKU dan pasangan OKU.

header.all-comments


bottom of page