Belanjawan 2025 KUSKOP lulus di Dewan Rakyat, Ewon bersama warga kementerian komited khidmat terbaik
20 November 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2025 bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Peringkat Jawatankuasa melalui undian suara.
Ia diluluskan selepas dibahaskan oleh 11 Ahli Parlimen.
Dalam Belanjawan Madani 2025, KUSKOP diperuntukkan sebanyak RM815.1 juta mencakupi RM551.9 juta bagi perbelanjaan pembangunan dan RM263.2 juta bagi perbelanjaan mengurus.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya berkata, warga KUSKOP terus komited memberikan khidmat terbaik memantapkan lagi pencapaian sektor keusahawanan dan koperasi di negara ini.
“Walaupun dengan peruntukan yang terhad namun kementerian saya akan terus komited membantu para usahawan dan koperasi memulakan ataupun mengembangkan perniagaan mereka.
“Ini dapat dibuktikan melalui pembiayaan sebanyak RM9.53 bilion kepada seramai 328,790 usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi sepanjang tahun 2023 oleh agensi-agensi KUSKOP.
“Selain itu, KUSKOP juga telah membangunkan beberapa dokumen khusus ke arah memperkasakan ekosistem pembangunan usahawan dan koperasi melalui Pelan Strategik PMKS 2030, Dasar Koperasi Negara 2030 dan Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030.
“Akan datang, kita juga akan membentangkan kepada Jemaah Menteri Dasar Francais Negara,” katanya, di sini, hari ini.
Ewon berkata, dalam Belanjawan Madani sejumlah RM40 bilion disediakan untuk pelbagai skim bantuan dan juga jaminan pembiayaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan.
Beliau berkata, peruntukan itu akan diselaraskan oleh Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan.
Berkenaan dengan isu program pembangunan halal yang dibangkitkan oleh ahli-ahli parlimen dalam perbahasan, Ewon berkata, tambahan peruntukan yang disalurkan kepada KUSKOP bukti komitmen besar Kerajaan Madani untuk terus membantu usahawan-usahawan dalam sektor industri halal negara.
Katanya lagi, kementeriannya mempunyai beberapa skim bantuan khusus untuk industri halal antaranya untuk membantu usahawan-usahawan mendapatkan persijilan halal, pembungkusan, mengembangkan perniagaan dan mengantarabangsakan produk halal.
“Begitu juga dengan sektor francais, selepas pemindahan fungsi francais daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri ke kementerian saya awal tahun ini, semua fungsi francais sudah dipusatkan di KUSKOP.
“Susulan itu kita akan mengangkat kepada Jemaah Menteri cadangan Dasar Francais Negara 2030. Saya berharap dasar ini dapat dilancarkan sebagai satu panduan dan hala tuju pembangunan francais di negara kita,” katanya.
Mengenai gerakan koperasi, Ewon berkata setakat tahun lalu (2023) gerakan koperasi negara berjaya mencatat perolehan sebanyak RM64.56 bilion dan nilai itu melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak RM60 bilion menjelang 2025.
“Ertinya ada pencapaian yang cukup cemerlang oleh gerakan koperasi. Pun begitu, kita harus akui masih banyak yang perlu kita laksanakan untuk mengangkat koperasi-koperasi ini supaya mereka juga boleh menyumbang kepada KDNK negara kepada perolehan ini,” katanya.
Comments