Belanjawan 2025: Langkah Positif, tetapi Perlu Perhatian Lebih untuk Pembangunan Sabah
19 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Belanjawan 2025 terus memfokuskan pembangunan di Sabah dan Sarawak, dengan peruntukan pembangunan masing-masing sebanyak RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.
Ini menjadikan Sabah antara penerima peruntukan tertinggi di negara ini.
Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R Indang menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan kepentingan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, khususnya dalam infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, dan air bersih.
Katanya Belanjawan 2025 membawa beberapa perkembangan positif dalam sektor-sektor utama, terutama dengan peningkatan peruntukan bagi Pendidikan (9.2%) dan Kesihatan (9.95%).
"Bidang-bidang ini amat penting untuk memastikan rakyat Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan penjagaan kesihatan yang baik, yang mana kedua-duanya sangat diperlukan untuk kemajuan jangka panjang negeri," katanya.
Namun demikian, beliau menekankan keperluan untuk memberikan lebih banyak perhatian dan sokongan kepada Sabah, khususnya dalam sektor-sektor yang menjadi tunjang ekonomi negeri.
"Walaupun peruntukan untuk Kerja Raya (8.94%) dan Pengangkutan (4.7%) adalah sesuatu yang baik, keluasan geografi Sabah memerlukan lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur untuk meningkatkan hubungan dan akses ke kawasan luar bandar.
"Penambahbaikan ini sangat diperlukan bagi memudahkan pertumbuhan dan pembangunan, serta membuka peluang ekonomi di seluruh wilayah," katanya.
Menurut Dennison, ekonomi Sabah sebahagian besarnya dipacu oleh komoditi, dengan kelapa sawit sebagai penyumbang terbesar.
"Peningkatan peruntukan bagi sektor Perladangan dan Komoditi (7.14%) adalah langkah yang baik, namun sokongan lebih diperlukan untuk memastikan pertumbuhan mampan sektor penting ini.
"Kelapa sawit, bersama komoditi lain, terus memainkan peranan penting dalam menyediakan mata pencarian kepada ramai penduduk Sabah," katanya.
Sehubungan itu katanya memperkuatkan sektor ini adalah penting untuk merangsang ekonomi tempatan dan memperkasakan komuniti luar bandar.
Menurut Dennison lagi, peningkatan yang sederhana bagi sektor Digital (1.71%) menunjukkan cabaran berterusan dalam merapatkan jurang digital, terutamanya di kawasan luar bandar dan terpencil di Sabah.
"Akses yang setara kepada infrastruktur digital adalah kritikal untuk pendidikan, perniagaan, dan perkhidmatan kerajaan.
"Oleh itu, saya menyeru kerajaan agar memberikan keutamaan kepada pembangunan perhubungan digital di Sabah supaya semua komuniti dapat menikmati manfaat ekonomi digital secara sepenuhnya.
Mengenai soal keselamatan, beliau mengalu-alukan peningkatan peruntukan bagi Pertahanan (7.61%) dan Hal Ehwal Dalam Negeri (2.09%).
Ini kerana kedudukan strategik Sabah, terutamanya dengan pesisiran pantainya yang luas, memerlukan langkah keselamatan yang diperkukuhkan bagi melindungi wilayah dan memastikan keselamatan rakyatnya.
"Walau bagaimanapun, pengurangan peruntukan bagi Kewangan (-4.05%) dan Ekonomi (-13.2%) adalah satu kebimbangan.
"Pada masa Sabah memerlukan pelaburan yang signifikan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, dan memperbaiki infrastruktur, pengurangan ini mungkin menjejaskan potensi wilayah untuk mencapai kapasiti penuh.
"Adalah penting Sabah mendapat perhatian yang adil dalam pengagihan sumber untuk menyokong pembangunan jangka panjang," tegasnya.
Sebagai kesimpulan katanya, walaupun Belanjawan 2025 mengambil beberapa langkah ke arah yang betul, lebih banyak pelaburan yang tertumpu di sektor berkenaan dan sokongan diperlukan bagi memastikan kemajuan dan kemakmuran Sabah yang berterusan.
Comments