top of page
nabalunews

Belanjawan 2025 : Memperkasa Wanita dan Belia dalam Keusahawanan



21 Oktober 2024


KOTA KINABALU : Dalam usaha memperkasakan wanita di sektor perniagaan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM470 juta melalui institusi seperti SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, dan MARA yang bertujuan untuk membantu perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang dimiliki oleh wanita dalam mendapatkan modal kerja, pembelian aset, serta meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.


Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat Jumaat lalu.


Ia menandakan satu komitmen berterusan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi negara, selaras dengan usaha memperkasa golongan ini yang sering kali berdepan cabaran dari segi akses kepada modal, peluang perniagaan, dan sokongan yang mencukupi.


Norsiah Ahiddin, seorang pengusaha kilang kosmetik Norcy BeautyLab Sdn Bhd di Sabah, menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memperkasakan wanita di sektor perniagaan dalam Belanjawan 2025.


Menurut Norsiah, peruntukan besar seperti ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk membantu wanita dan golongan belia yang seringkali terpinggir dalam sektor ekonomi.


Menurutnya, jika dana ini disalurkan dengan berkesan, ia mampu meningkatkan bilangan usahawan wanita yang berjaya.


Namun, beliau turut menegaskan bahawa kejayaan inisiatif ini bergantung kepada pelaksanaan yang cekap, ketelusan dalam pemberian dana, serta akses yang adil kepada mereka yang layak.


"Di samping itu, sokongan berterusan dalam bentuk bimbingan, latihan, dan akses kepada teknologi serta pasaran antarabangsa perlu diberikan agar usahawan wanita dapat berkembang maju," katanya.


Selain peruntukan untuk PMKS wanita, kerajaan juga memperuntukkan RM20 juta kepada Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).


Norsiah menekankan bahawa program TUBE ini adalah satu langkah penting dalam melatih dan membimbing belia Bumiputera ke arah keusahawanan.


"Walaupun jumlah peruntukan ini kelihatan kecil berbanding inisiatif lain, saya melihatnya sebagai satu program strategik kerana ia tidak hanya memberikan modal, tetapi juga membina kapasiti usahawan muda melalui latihan intensif.


"Program TUBE juga menawarkan nilai tambah dengan memperkenalkan belia kepada kemahiran praktikal yang diperlukan untuk mengurus perniagaan. Dengan adanya bimbingan yang komprehensif, belia Bumiputera boleh memberi impak jangka panjang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.


Namun, bagi memastikan keberkesanan maksimum, Norsiah menegaskan bahawa program ini perlu menyasarkan bukan sahaja pengurusan perniagaan asas, tetapi juga wajar memberi tumpuan kepada aspek inovasi serta penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan.


Secara keseluruhannya, Norsiah menganggap kedua-dua peruntukan ini sebagai satu usaha bersepadu kerajaan dalam memperkukuh ekonomi negara melalui galakan keusahawanan di kalangan wanita dan belia, terutamanya Bumiputera.


Namun, beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan inisiatif ini memerlukan pelaksanaan yang tepat, pemantauan rapi, serta penglibatan aktif daripada komuniti sasaran untuk memastikan matlamat memperkasakan wanita dan belia tercapai sepenuhnya.

Comments


bottom of page