top of page
nabalunews

Belanjawan 2025 mungkin umum perincian subsidi RON95, pengenalan semula GST - Penganalisis


25 September 2024


KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd menjangka perincian selanjutnya rasionalisasi subsidi petrol RON95, dan sama ada kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dimaklumkan dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober depan.


Menurut penganalisis, bank pelaburan itu menjangkakan bahawa Belanjawan 2025 akan merangkumi kehematan fiskal, bantuan kepada segmen berpendapatan rendah, komitmen terhadap pembaharuan dan kejelasan inisiatif meluaskan asas cukai.


Berita Harian melaporkan penganalisis RHB Research, Alexander Chia, berkata kerajaan mempunyai ruang untuk membuat kemajuan bermakna dalam subsidi dan inisiatif meluaskan asas cukai.


Beliau berkata, kini hampir dua tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan kestabilan Kerajaan Perpaduan dilihat sangat utuh.


Justeru, katanya Malaysia dilihat bersedia untuk menghabiskan penggal Parlimen semasa sebelum PRU akan datang yang bakal menjelma lewat 2027.


"Walaupun terdapat sedikit kemajuan dalam pembaharuan, kami percaya kerajaan masih mempunyai modal politik yang mencukupi untuk membuat kemajuan yang lebih bermakna terhadap subsidi dan inisiatif bagi meluaskan asas cukai kepada mengecilkan defisit fiskal, mewujudkan ruang utama untuk pelaburan infrastruktur dan mewujudkan laluan untuk membendung hutang negara.


"Dalam hal ini, kedua-dua inisiatif utama yang belum selesai ialah rasionalisasi subsidi untuk petrol RON95 dan mengembalikan semula GST yang akan bersesuaian dengan pelaksanaan penuh e-Invois," katanya dalam nota penyelidikan, hari ini.


Mengulas lanjut, Chia berkata, mencapai Rangka Kerja Ekonomi MADANI akan menjadi fokus utama Belanjawan 2025 dengan tumpuan kepada kreativiti, daya saing, pendigitalan, penerokaan kecerdasan buatan (AI) dan pembaharuan perkhidmatan awam.


Beliau berkata, usaha untuk menggerakkan Malaysia Inc dalam rantaian nilai harus membabitkan cadangan untuk memudahkan pelaburan langsung asing (FDI), menyelaraskan proses untuk menghapuskan birokrasi yang berlebihan, peningkatan produktiviti, automasi dan pembangunan bakat.


Katanya, ia termasuk pembiayaan untuk teknikal dan pendidikan dan latihan vokasional (TVET) bagi meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja serta insentif untuk meluaskan dasar gaji progresif.


Menurutnya, bank pelaburan itu juga tidak menolak kenaikan duti eksais ke atas tembakau dan alkohol.


"Kami akan memantau secara teliti peruntukan untuk projek infrastruktur, dengan kejelasan yang diharapkan mengenai MRT3," katanya.


Mengenai makroekonomi negara, Chia berkata, latar belakangnya akan kekal positif berikutan perubahan dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).


Beliau berkata, sentimen perniagaan dan pelabur akan meningkat, manakala ringgit yang lebih kukuh akan menjadi positif bersih untuk pendapatan korporat.


"Ekuiti seharusnya disokong dengan baik oleh pengumpulan mudah tunai domestik, ditambah dengan pembaharuan minat dana portfolio asing.


"Kami mengekalkan penarafan 'lebih wajaran' terhadap perbankan, hartanah, pembinaan, teknologi, penjagaan kesihatan, bahan asas, minyak dan gas, utiliti dan sektor keluaran getah, serta sasaran FBM KLCI 2024 sebanyak 1,720 mata," katanya.


Namun begitu, RHB Investment Bank mengingatkan risiko utama seperti peningkatan tekanan inflasi menyebabkan dasar monetari oleh Fed AS menjadi sebaliknya, perkembangan geopolitik yang tidak dapat dijangkakan dan kesan peningkatan perang perdagangan AS-China.

Comments


bottom of page