top of page
nabalunews

Belanjawan 2025: Prasarana asas Sabah dan Sarawak jadi keutamaan

18 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyediaan prasarana asas di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak menjadi antara tumpuan utama dalam Belanjawan 2025, dengan peruntukan hampir RM2.9 bilion.


Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat, khususnya di kawasan kampung, desa, dan pedalaman.


Perdana Menteri menjelaskan, peruntukan tersebut merangkumi pembinaan dan baik pulih jalan kampung di Kota Belud, Sabah; Pasir Puteh, Kelantan; dan Kuala Lipis, Pahang dengan anggaran kos hampir RM1.8 bilion.


“Projek bina dan baiki jambatan serta pemasangan dan selenggara lampu jalan kampung diteruskan melibatkan kos lebih RM350 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.


Beliau turut menyentuh tentang bekalan air bersih dan elektrik di Sabah dan Sarawak yang akan memberi manfaat kepada 5,150 rumah dengan peruntukan hampir RM500 juta.


Anwar juga menegaskan kepentingan perkhidmatan bergerak, dengan tambahan RM100 juta bagi memperluas Perkhidmatan Komuniti Bergerak di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.


Dalam aspek pendidikan, RM1 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf prasarana daif di 543 sekolah, terutamanya di Sabah dan Sarawak, dengan 44 sekolah baharu akan dibina, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Kawi di Putatan dan Sekolah Kebangsaan Dudong di Sibu.

Comments


bottom of page