Belanjawan 2025: Sabah catat pertumbuhan tertinggi sektor pembuatan negara
17 November 2024
KOTA KINABALU: Kadar pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah adalah yang tertinggi di negara ini iaitu 4.4 peratus tahun lalu yang mengatasi pertumbuhan purata sektor pembuatan nasional sebanyak 0.8 peratus.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kadar pertumbuhan itu adalah berdasarkan peningkatan hasil sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah.
KDNK Sabah meningkat kepada RM6.03 bilion tahun lalu, berbanding RM5.78 bilion pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Masidi berkata Sabah menerima pelaburan asing dan domestik dalam sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan berjumlah RM1.7 bilion setakat Jun lalu.
Sebelum ini, katanya Sabah menerima pelaburan yang signifikan melalui syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dari Korea Selatan dan Kumpulan Kibing dari China dengan nilai pelaburan masing-masing berjumlah RM4.28 bilion dan RM2.48 bilion.
“Kedua-dua pelabur ini telah menghasilkan dan mengeksport produk mereka ke luar negara bermula pada akhir 2023 bagi syarikat SK Nexilis dan Kumpulan Kibing pada awal tahun ini,” katanya.
SK Nexilis mengeluarkan kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik bagi pasaran global, manakala Kumpulan Kibing mengeluarkan kaca solar, kedua-duanya beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Sementara itu, Masidi berkata pada tahun ini, Kumpulan Kibing melalui anak syarikatnya, SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd bersetuju melabur kilang pembuatan kaca solar baharu dengan anggaran pelaburan RM7.2 bilion melalui tiga fasa pelaburan.
“Pelaburan ini juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada 5,000 rakyat di negeri ini. Pada masa yang sama, Kumpulan Kibing juga komited untuk meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar di kilangnya di KKIP.
“Anggaran nilai pelaburan tambahan syarikat itu berjumlah RM700 juta sekali gus mewujudkan 600 tambahan peluang pekerjaan,” katanya.
Comentários