Belanjawan 2025, Sabah perlukan agihan peruntukan yang adil dan telus, kurangkan jurang perbezaan bandar dan luar bandar
24 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Agihan peruntukan yang adil dan telus dalam Belanjawan 2025 sangat diperlukan, bagi mengurangkan jurang perbezaan dalam pembangunan sosial dan ekonomi antara bandar dan luar bandar di Sabah.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan (CLC) UPKO DUN N.6 Bandau, Suzie Salapan berkata agihan peruntukan harus memberikan keutamaan kepada komuniti di kawasan luar bandar untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan di Sabah.
Menurut Suzie lagi, antara matlamat utama Belanjawan 2025 ialah untuk menggalakkan penglibatan komuniti dalam pembangunan ekonomi dan kestabilan sosial di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu katanya agihan peruntukan yang adil dan telus sangat diperlukan, terutamanya di kawasan luar bandar di Sabah.
Mengulas mengenai Belanjawan 2025 itu, Suzie yang juga Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) berkata projek-projek seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.
"Dengan adanya perumahan yang lebih terancang dan berkualiti, masyarakat yang memerlukan dapat menikmati tempat tinggal yang selesa dan selamat.
"Namun, kejayaan projek ini memerlukan pemantauan yang rapi serta mekanisme pelaksanaan yang telus dan adil untuk memastikan manfaatnya sampai kepada golongan sasaran," katanya.
Suzie turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek-projek seperti ini memerlukan pengawasan yang ketat untuk mengelakkan penyelewengan dan memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan dengan baik.
Beliau berharap agar Belanjawan 2025 benar-benar membawa kesejahteraan kepada rakyat, terutamanya dalam memperkasa golongan yang memerlukan.
Mengenai bantuan khas kewangan sebanyak RM500 yang diberikan kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak serta kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen sebanyak RM250 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025, Suzie berkata ia adalah langkah penting untuk mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh kakitangan kerajaan, terutamanya dalam menangani cabaran inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut Suzie, bantuan ini bukan sahaja dapat meringankan tekanan kewangan, tetapi juga berfungsi sebagai dorongan moral dan motivasi kepada kakitangan kerajaan dan swasta.
"Kesan akhirnya adalah peningkatan produktiviti, yang memberi manfaat kepada sektor awam dan swasta," katanya.
Comentários