Belanjawan Sabah 2025, Belanjawan Progresif untuk rakyat
16 November 2024
KOTA KINABALU : Belanjawan Sabah 2025 yang bertemakan "Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera" mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negeri sambil memberi penekanan kepada keperluan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata,
dengan anggaran keseluruhan sebanyak RM6.421 bilion, belanjawan ini menunjukkan pengurusan kewangan yang berdisiplin serta pelaksanaan program berimpak tinggi.
"Ini adalah bukti kepada kejayaan Kerajaan GRS-PH Plus yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam mengemudi Sabah ke arah pembangunan mampan.
"Di bawah kepimpinan beliau, kerajaan negeri telah berjaya mencapai kestabilan kewangan sambil memperkenalkan pelbagai inisiatif yang mempertingkatkan kualiti hidup rakyat. Kejayaan ini bukanlah kebetulan, tetapi hasil perancangan strategik dan pelaksanaan dasar yang efektif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata Belanjawan Sabah 2025 turutkan memperkukuhkan keberhasilan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang terbukti sebagai pemacu utama pembangunan negeri.
"Pelan ini telah menyokong pertumbuhan dalam sektor-sektor utama seperti pendidikan, ekonomi, infrastruktur, dan kesejahteraan sosial.
"Melalui pelan ini, kerajaan berjaya memperkukuhkan asas ekonomi negeri,
meningkatkan akses pendidikan dan kesihatan serta meningkatkan infrastruktur untuk manfaat rakyat Sabah secara keseluruhan," katanya.
Menurut Nizam dengan visi yang jelas dan pendekatan yang menyeluruh, Sabah kini berada di landasan kukuh untuk mencapai kemajuan yang lebih pesat dan inklusif.
Katanya lagi kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada sektor pendidikan dengan peruntukan sebanyak RM127 juta untuk biasiswa, dermasiswa, dan bantuan pelajar negeri.
"Lebih 10,000 pelajar, termasuk pelajar baharu, akan menerima manfaat daripada inisiatif ini.
"Selain itu, program seperti SENTOSA, BUDI, SUBFLY, dan SUKSES menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyediakan akses pendidikan yang inklusif dan menyeluruh, terutama kepada anak-anak Sabah yang menuntut ilmu di dalam dan luar negeri," tegasnya.
Dalam usaha memperkasa wanita, kerajaan negeri katanya turut memperuntukkan RM9.73 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).
Langkah ini menyokong program keusahawanan, kesedaran gender, dan geran kepada NGO wanita, sekaligus memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan negeri.
Menurut Nizam lagi, usaha kerajaan untuk mensejahterakan rakyat diterjemahkan melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat, dengan bantuan bulanan RM300 selama setahun, pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra SMJ dengan peruntukan RM250 juta, bantuan tunai RM5,000 kepada peniaga kecil dan peruntukan khas bagi pembangunan luar bandar.
"Inisiatif-inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan semua golongan masyarakat mendapat manfaat.
"Pengurusan kewangan yang cemerlang
Belanjawan Sabah 2025 turut menyerlahkan kecekapan pengurusan hasil negeri, dengan unjuran pendapatan RM6.445 bilion.
"Sebahagian besar pendapatan ini dijana melalui peningkatan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah.
"Keupayaan untuk mengekalkan hasil negeri pada paras RM6 bilion selama dua tahun berturut-turut adalah satu pencapaian yang membanggakan," katanya.
Sebagai wakil rakyat, Nizam yakin pendekatan progresif yang diterapkan melalui Belanjawan Sabah 2025 akan terus memperkukuh asas pembangunan negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Saya mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri Sabah, khususnya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, atas perancangan dan pelaksanaan pelan pembangunan yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Sabah," katanya.
Comments