top of page
nabalunews

Belanjawan Sabah 2025 dibentang esok


14 November 2024


KOTA KINABALU: Belanjawan Sabah 2025 yang bertemakan "Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera" akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Jumaat 15 November oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.


Pembentangan belanjawan oleh Masidi itu dijadual bermula pada jam 3 petang.


Hari ini pada Khamis, Masidi menerima dan membuat semakan akhir Teks Ucapan Belanjawan 2025 daripada Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan), Chee Shok Ting bersama Timbalan Setiausaha Tetap (Operasi), Anthea James Jipanus dan Setiausaha Rendah Bahagian Belanjawan, Mohd Faizal Mohd Tahir.


Penyerahan teks belanjawan itu disaksikan oleh Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Julita Majungki dan Pembantu Menteri Kewangan II, Tan Lee Fatt.


Masidi sebelum ini menyifatkan belanjawan negeri bagi tahun depan sebagai ‘di luar dugaan’ dan tidak pernah dibuat dalam mana-mana belanjawan negeri sebelum ini.


Gambaran itu disebutnya ketika menggulung perbahasan sempena Perhimpunan Agung Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad lalu.


Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat dilapor berkata, belanjawan tahun depan antara lain akan memastikan rakyat negeri ini, khususnya golongan B40 dapat dibantu untuk menangani tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.


“Saya tidak mahu memberi pengisian lebih lanjut, sebab ini bukan pembentangan, sekadar saya ingin mengatakan kita (kerajaan) akan memberi sesuatu yang ‘luar dugaan’ yang belum pernah dibuat sebelum ini.


“Ini bagi memastikan ianya dapat membantu golongan B40 mengurangkan tekanan kesan kenaikan barang. Saya tahu banyak lagi bantuan diperlukan rakyat bagi mengekang kos sara hidup melalui bantuan khas daripada kerajaan,” katanya.

Comments


bottom of page