top of page
nabalunews

Belanjawan Sabah 2025 pacu pertumbuhan ekonomi negeri, ambil kira kebajikan rakyat

16 November 2024


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan Sabah 2025 sebagai belanjawan yang baik kerana akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri dalam sektor pertanian, pelancongan, dan perindustrian.


Katanya belanjawan tersebut menitikberatkan pembangunan modal insan, bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi, serta kebajikan rakyat.


Manakala bagi golongan miskin dan miskin tegar, Hajiji memaklumkan mereka akan menerima bantuan RM300 sebulan selama setahun, melibatkan peruntukan RM358.5 juta.


Bantuan menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat itu antara lain diharap dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang tinggi.


Semalam pada Jumaat, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun membentangkan Belanjawan Sabah yang tertinggi dalam sejarah bagi tahun 2025 berjumlah RM6.421 bilion untuk tahun depan dengan anggaran hasil negeri yang disasar mencapai RM6.445 bilion.


Masidi berkata sebagai usaha berterusan bagi memastikan golongan tersebut tidak ketinggalan daripada arus pembangunan, taraf hidup dan ekonomi, kerajaan Sabah turut memperuntukkan RM488.5 juta untuk melaksanakan pelbagai program membasmi kemiskinan.


Beliau berkata sebanyak RM250 juta diperuntukan bagi pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan DUN, peningkatan peruntukan 100 peratus berbanding belanjawan tahun ini.


"Setakat bulan lepas sebanyak 4,482 Rumah Mesra SMJ telah dibina bagi membolehkan golongan miskin dan miskin tegar ini memiliki kediaman mereka sendiri, tempat untuk mereka serta keluarga berteduh," katanya.


Selain itu, Masidi berkata peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan sah juga buat julung kali diberikan bantuan sekali bayar sebanyak RM5,000.


Masidi berkata RM214 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja di bawah peruntukan khas dan projek pembangunan kecil bagi pembinaan serta penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam di seluruh Sabah.


Katanya RM19.5 juta pula diperuntukkan untuk Program Pembangunan Kecil, Program Penyediaan Kemudahan dan Pembaikan Kawasan, Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan.


"Pelan Pembangunan SMJ di bawah teras inisiatif utama Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat menggariskan mengenai inisiatif pembasmian kemiskinan sebagai satu daripada usaha ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.


Selain daripada semakan gaji, belanjawan itu turut mencadangkan bantuan minimum RM3,000 atau sebulan gaji kepada penjawat awam kerajaan Sabah.


Sementara itu, Hajiji berkata video-video yang dikatakan mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dengan aktiviti rasuah kemungkinan bertujuan untuk melemahkan kerajaan sedia ada.


Ketika ditanya mengenai episod keempat yang dikeluarkan oleh Malaysia Kini, yang memaparkan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya, Hajiji berkata beliau masih belum menontonnya.


Video itu dikeluarkan pada waktu yang hampir sama dengan pembentangan Belanjawan 2025 Sabah di bangunan Dewan Undangan Negeri, yang bermula pada jam 3 petang pada Jumaat.


"Saya tidak boleh komen. Saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat isu ini kerana ia kelihatan mempunyai motif tertentu.


"Langkah ini kemungkinan bertujuan untuk melemahkan kerajaan. Tetapi saya ingin menegaskan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini tetap kukuh," katanya kepada media selepas pembentangan tersebut semalam.

Comments


bottom of page