top of page
nabalunews

Belanjawan Sabah 2025 : Pendidikan anak-anak Sabah diperkasakan




15 November 2024


KOTA KINABALU : Belanjawan Sabah 2025 menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan pendidikan anak-anak Sabah melalui pelbagai inisiatif yang inklusif dan signifikan.


Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN), petang tadi berkata sebanyak RM127 juta diperuntukkan untuk program biasiswa, dermasiswa, dan bantuan pelajar, melibatkan 7,130 pelajar aktif yang sedang menerima manfaat.


Tambahan 3,000 pelajar baru akan diberikan peluang melanjutkan pelajaran dengan sokongan kewangan.


Menurut Masidi, menerusi inisiatif one-off sumbangan mahasiswa pendidikan tinggi dalam Sabah (SENTOSA), setiap mahasiswa di institusi pengajian tinggi dalam Sabah akan menerima sumbangan sebanyak RM300 seorang sebagai galakan dan sokongan kewangan.


Kerajaan turut menawarkan bantuan tunai bagi pelajar yang mendaftar ke IPT menerusi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan diberikan secara one-off iaitu RM2,000 untuk pelajar ijazah dan RM1,500 untuk pelajar diploma atau matrikulasi.


Manakala menerusi Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan: Graduan Rindu Sabah (SUBFLY) yang bertujuan membantu graduan Sabah yang menuntut di luar negeri untuk pulang ke Sabah, sebanyak RM600 seorang disediakan sebagai subsidi tiket penerbangan.


Katanya lagi setiap sekolah di Sabah akan menerima sumbangan sebanyak RM3,000 secara one-off untuk menyokong pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan menerusi Sumbangan Kegiatan Sekolah (SUKSES).


Bagi Program Pemberian Bantuan Persekolahan dengan peruntukan RM26.06 juta akan memberi manfaat kepada 291,275 murid di seluruh Sabah yang bertujuan meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah.


Masidi berkat pelbagai bantuan sedia ada akan diteruskan bagi memastikan anak-anak Sabah terus mendapat manfaat.


Antaranya Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang menyediakan komputer kepada pelajar yang memerlukan.


Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI) untuk pelajar yang menghadapi peperiksaan utama.


Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) bagi membantu pelajar menyimpan untuk pendidikan masa depan.


Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) yang mengiktiraf pelajar cemerlang.


Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS) berbentuk sokongan kewangan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru.


Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) untuk membaik pulih dan menyokong infrastruktur sekolah.


Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) untuk program khas pendidikan di sekolah.


Melalui pelbagai inisiatif ini, kerajaan Sabah menunjukkan kesungguhan dalam membangunkan generasi muda yang berpendidikan, berkemahiran, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.


Dengan pelaburan yang signifikan dalam sektor pendidikan, anak-anak Sabah diyakini akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk berjaya.


Masidi berkata Belanjawan ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk mengutamakan kesejahteraan pendidikan rakyat Sabah, sejajar dengan matlamat pembangunan negeri yang inklusif dan mampan.

Comments


bottom of page