Belia Bitoon Dirai Dalam Program Santai dan Sumbangan Raya Oleh UPKO Ranau
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

21 April 2025
RANAU: Dalam usaha mengeratkan hubungan bersama komuniti belia setempat, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Ranau telah menganjurkan program santai bersama golongan muda di Kampung Bitoon, disusuli dengan mesyuarat penyusunan Ahli Jawatankuasa (AJK) Jentera Pilihan Raya Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tampios.
Program yang berlangsung pada 19 April itu diadakan di perkarangan rumah Jamius Kambituk dan mendapat sambutan hangat daripada penduduk serta ahli parti.
Acara ini turut menyaksikan Ketua Bahagian UPKO Ranau, Georgina George, menyantuni warga emas kampung dengan menyampaikan sumbangan duit raya sempena Aidilfitri. Langkah ini menunjukkan keprihatinan parti terhadap semua lapisan masyarakat, bukan sahaja dari segi politik tetapi juga kemasyarakatan.
Georgina berkata, pendekatan mesra rakyat ini penting dalam memastikan setiap program yang dirancang parti tidak hanya berorientasikan pilihan raya, tetapi turut membawa manfaat langsung kepada masyarakat.
"Kita mahu belia berasa dihargai dan warga emas tidak dilupakan. Ini adalah sebahagian dari pendekatan UPKO dalam menjalin hubungan akar umbi yang kukuh," katanya.
Dalam suasana yang santai dan mesra, Ketua Pemuda UPKO Ranau, Leester Dalimon, bersama beberapa AJK Pemuda, turut mengambil peluang menganjurkan perlawanan santai sepak takraw bersama belia kampung. Aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah merapatkan jurang antara pimpinan dan golongan muda.
Menurut Leester, program sebegini dapat membuka ruang kepada belia untuk lebih mengenali dan memahami peranan parti dalam pembangunan komuniti mereka.
“Kita mahu anak muda rasa mereka sebahagian dari gerakan perubahan. Aktiviti seperti ini membuka ruang perbincangan secara tidak formal dan lebih terbuka,” katanya.
Selain acara sukan dan sumbangan raya, mesyuarat penyusunan AJK PDM Tampios yang diadakan turut membincangkan strategi dan perancangan rapi menjelang pilihan Raya Negeri Ke 17 (PRN17) akan datang.
Dengan program sebegini, UPKO Ranau membuktikan komitmen mereka dalam memperkukuh jentera parti sambil mengekalkan hubungan rapat dengan rakyat. Belia dan komuniti akar umbi terus menjadi fokus utama dalam usaha memacu perubahan dan pembangunan seimbang di kawasan luar bandar seperti Ranau.
Comments