top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Elak budaya terima 'duit kupi' semasa Pilihan Raya



12 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Pelaksanaan undi18 dijangka merubah landskap politik negara yang menyaksikan buat pertama kalinya penyertaan golongan muda dalam pilihan raya dan pembentukan dasar negara.


Bagaimanapun pengundi muda khususnya 18 tahun diingatkan supaya menghindari ‘menerima duit’ apabila memilih calon pilihan raya.


Seorang ahli panel Webinar “Harapan Generasi Muda Sabah” Sylvester Kuan, berkata, para pengundi muda seharusnya melihat kepimpinan, prestasi dan kebolehpercayaan calon berkenaan menunaikan janji-janjinya sebelum ini.


Beliau yang juga seorang peguam muda berkongsi pengalaman semasa pilihan raya lalu dimana ada pengundi menyerbu rumah calon untuk meminta duit sebelum hari mengundi.


“Pada pilihan raya lalu, saya menjadi pengiring salah seorang calon di Sabah, saya nampak sehari sebelum pilihan raya satu kampung (ramai) menyerbu rumah calon untuk meminta duit. Apa yang menyedihkan ialah ada yang membawa anak … inikah yang kita mahu ajar kepada anak kita?


“Oleh itu saya berharap para belia atau pengundi muda khususnya yang berumur 18 hingga 20 tahun supaya tidak terpengaruh dengan budaya seumpama itu. Jangan lagi kita harap RM150, RM200 masa pilihan raya, lepas itu kita undi parti politik yang bagi.


“Sebaliknya kita perlu melihat pada dasar-dasarnya, prestasi dan kebolehpercayaan janji-janji yang diberikan oleh calon berkenaan. Sekiranya dia sudah bertanding sebelum ini dan tidak dapat menunaikan janji-janjinya, macam mana kita percaya dia boleh buat sekarang?,” katanya dalam perkongsian melalui webinar anjuran Upko, pada Ahad.


Sylvester berkata, budaya ‘pemberian wang’ kepada pengundi tidak seharusnya berlaku.


“Semua ini harus diajar melalui pendidikan, sekiranya bapa dia tidak boleh ajar, kita harap sistem pendidikan negara boleh beri pendidikan bahawa perbuatan seperti itu tidak baik.


“Saya berharap golongan muda akan belajar supaya kita mempunyai kerajaan yang lebih efisien, lebih kreatif dan suara mereka boleh didengari. Ini penting,” katanya.


Beliau berkata, ini kerana dengan pelaksanaan Undi18, tanggungjawab untuk menentukan masa depan negara berada di tangan belia.


Sylvester berkata, sebagai seorang belia, dia tidak nampak keburukan penurunan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.


“Ini merupakan satu trend yang tidak dapat dielakkan kerana ia sudah pun menjadi trend pada tahun 1970an, banyak negara sudah melaksanakannya dan Malaysia ada negara kedua terakhir di Asia Tenggara melaksanakan atau meminda had umur mengundi kepada 18 tahun. Sekarang hanya Singapura yang masih kekal had umur 21 tahun,” katanya.


Mengenai tanggapan belia 18 tahun belum matang dan tidak rasional Sylvester berkata, harus diingat bahawa persoalan itu tidak dirungkai sebelum negara-negara lain meminda had umur mengundi di negara mereka.


“Kalau kita lihat keadaan di Malaysia, kita sudah nampak trend ini memang sudah ada, iaitu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan membenarkan penglibatan orang muda dan mahasiswa, mahasiswi dalam politik.


“Sekarang, Undi18 diluluskan, macam mana kita boleh cakap ia tidak rasional dan tidak matang? padahal undang-undang Malaysia sendiri iaitu Akta Umur Dewasa - seseorang itu berhenti digelar menjadi kanak-kanak apabila mencapai umur 18 tahun.


“Dalam 18 tahun apa yang dia boleh buat? Dia boleh bekerja, berkahwin, menandatangani sebarang perjanjian dan boleh didakwa di mahkamah seperti orang dewasa. Kalau keputusan-keputusan ini undang-undang cakap 18 tahun boleh buat, kenapa undi 18 tidak boleh?,” katanya.


Selepas 1970-an, negara maju seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis dan Australia sudah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.


Kemudian diikuti India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada era 1980-an dan yang terakhir mengikuti jejak menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ialah negara Jepun pada 2016.


Comments


bottom of page