top of page
nabalunews

Bengkel Penanaman Sayur Organik di Kampung Tinata, Kadamaian bawa manfaat kepada penduduk

7 Oktober 2024


KOTA BELUD: Komuniti Kampung Tinata, Kadamaian sekali lagi meraih manfaat apabila Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hopes Malaysia menganjurkan Bengkel Penanaman Sayur Secara Organik, yang menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasakan komuniti luar bandar dengan kaedah pertanian mampan.


Penganjuran bengkel ini pada Sabtu adalah kesinambungan daripada beberapa projek terdahulu di kampung tersebut, termasuk Projek Bekalan Air Graviti dan Projek Rain Gutter yang juga dilaksanakan dengan kerjasama Hopes Malaysia.


Kedua-dua projek ini bertujuan untuk meningkatkan akses kepada bekalan air bersih dan membantu pengurusan sumber air yang lebih cekap.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinata, Hadlee Panchai berkata sambutan daripada penduduk kampung adalah amat menggalakkan.


“Kami amat teruja melihat penyertaan yang ramai. Bengkel ini memberikan pendedahan berharga kepada peserta tentang teknik asas penanaman sayur secara organik, yang berpotensi meningkatkan pendapatan keluarga,” ujar beliau.


Dalam bengkel tersebut, para peserta diperkenalkan kepada beberapa kaedah penting seperti penyediaan tanah menggunakan bahan organik, teknik penanaman berasaskan penggunaan sumber semula jadi, serta kaedah pengurusan perosak tanpa bahan kimia.


Hopes Malaysia turut menyediakan peralatan dan bahan-bahan untuk memulakan projek penanaman sayur organik, antaranya benih sayur, sekam padi bakar, vernicompos, dan polypipe untuk sistem pengairan.


Hadlee yang mewakili komuniti Kampung Tinata merakamkan penghargaan kepada Hopes Malaysia.


“Kami sangat berterima kasih atas sokongan dan usaha yang berterusan oleh Hopes Malaysia dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk kampung kami. Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberi impak positif kepada ekonomi keluarga, tetapi juga kepada kelestarian alam sekitar.


"Dengan adanya bengkel seperti ini, diharapkan komuniti Kampung Tinata dapat mengamalkan teknik pertanian yang lebih mesra alam dan pada masa yang sama, menyumbang kepada kesejahteraan mereka secara keseluruhan," katanya.

Comments


bottom of page