top of page
  • nabalunews

Berhenti tuding jari dan fokus untuk selesaikan masalah air Sabah - Vivian

1 Oktober 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, menggesa semua pemimpin di negeri Sabah untuk menumpukan perhatian sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang berlarutan di negeri ini sejak sekian lama.


Menurut beliau, isu ini telah menjejaskan kehidupan seharian rakyat serta memberi impak negatif terhadap ekonomi tempatan.


"Henti segera untuk terus menggunakan isu air sebagai isu politik dan terus dibahaskan. 


Jika semua pemimpin kita yang berpengalaman dapat bersatu dan terus menyelesaikan krisis air secara bertimbang rasa, saya percaya isu air boleh diselesaikan dalam masa yang sesingkat mungkin.” Jelasnya.


Vivian yang juga Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), adalah sebahagian daripada delegasi PAC yang sedang membuat lawatan empat hari ke Sabah untuk menyiasat masalah air yang tidak pernah berakhir di negeri itu.


Selain masalah bekalan air, Vivian juga menyatakan kebimbangan beliau berkenaan isu kualiti bekalan air. 


Sesi dialog antara ahli PAC dan ahli jawatankuasa badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Sandakan Water Watch diketuai oleh Datuk John Khoo, juga diadakan.


John bersama jawatankuasanya turut

mengutarakan kebimbangan sama dan memandang serius isu bekalan air khasnya di Sandakan.


"Kita telah mengalami gangguan air yang kerap selain pernah terjadi resapan air laut ke dalam muka sauk air di loji air kita yang mengakibatkan klorida berlebihan dalam air minuman dan kita juga pernah kehabisan diesel untuk menjana kuasa di loji rawatan air kita," tegasnya.


Vivian percaya sudah tiba masanya semua agensi dan jabatan bekerja secara sinergi demi kesejahteraan rakyat.


Vivian menegaskan walaupun bekalan air berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun, semua wakil rakyat Sabah, tidak kira Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen, mesti mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat mengatasi cita-cita politik mereka sendiri.


 “Adalah menjadi tanggungjawab kepada semua wakil rakyat untuk menyelesaikan isu air ini dan rakyat tidak boleh terus menderita berpanjangan dan dalam senyap terus terkesan dengan masalah air kita ini," tegas Vivian.

Opmerkingen


bottom of page