top of page
nabalunews

Berjalan 10,000 langkah tutup tirai Bulan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Yayasan Sabah


Pengarah Yayasan Sabah, Dato' Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar (berbaju putih dan biru), bersama staf Kumpulan Yayasan Sabah, menyertai acara Berjalan 10,000 Langkah.

10 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Majlis Penutupan Bulan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2024 (OSH) Kumpulan Yayasan Sabah telah diadakan hari ini dengan aktiviti berjalan 10,000 langkah di sekitar Menara Tun Mustapha, yang merupakan simbolik kepada usaha memperkasakan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta dalam komuniti.


Bertemakan “Keselamatan dan Kesihatan: Tanggungjawab Bersama,” acara tersebut menyaksikan penyertaan sebanyak 350 orang peserta dari pelbagai bahagian, zon, unit dan anak-anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah.


Acara ini turut menampilkan senamrobik, yang menyemarakkan lagi suasana program di samping mengukuhkan semangat keakraban dalam organisasi.


Sepanjang Bulan OSH yang telah berlangsung dari 12 September hingga 10 Oktober lalu, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.


Para peserta berpeluang menghadiri ceramah informatif yang disampaikan oleh pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.dan Agensi Antidadah Kebangsaan.


Dalam memupuk budaya keselamatan dan kesihatan yang kukuh, Kumpulan Yayasan Sabah komited untuk memastikan semua staf dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran OSH yang diperlukan untuk masa depan yang lebih selamat.


Ini termasuk mengadakan pelbagai aktiviti demi meningkatkan kesedaran serta memberdayakan peserta dengan pengetahuan yang diperlukan untuk memperbaiki amalan keselamatan di tempat kerja.

Comentarios


bottom of page