top of page

Berniaga tanpa lesen dan persekitaran kotor. Empat penjaja dikenakan tindakan

nabalunews

3 Mac 2025


KOTA KINABALU: Empat penjaja di Jalan Punai, Likas, di sini, dikenakan tindakan dalam Operasi Bersepadu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selepas dikenalpasti berniaga tanpa lesen selain persekitarannya yang kotor.


Operasi yang dijalankan pada 26 Februari lalu itu melibatkan 24 anggota yang terdiri daripada petugas Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan, DBKK serta anggota polis.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pelesenan, DBKK, hari ini berkata, semua peniaga terbabit gagal menunjukkan lesen penjaja yang sah.


Katanya, hasil pemeriksaan turut mendapati tahap kebersihan di sekitar kawasan menjaja berada dalam keadaan kotor.


“Keadaan persekitaran tempat menjaja kotor dengan sisa-sisa air dan makanan yang dibuang ke dalam parit berhampiran.


“Susulan itu, DBKK melakukan penyitaan peralatan penjaja yang terlibat dan hasil sitaan dibawa ke DBKK untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Menurutnya, para penjaja turut diberi amaran keras agar tidak menjalankan aktiviti menjaja di kawasan berkenaan.


“DBKK memandang serius perkara ini dan akan meneruskan usaha pemantauan terhadap pematuhan penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.


“Pemantauan yang diadakan secara berkala ini bertujuan untuk memastikan kesalahan seperti ini tidak berulang di masa akan datang,” katanya.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page